Khamis, 29 Ogos 2019

Malaysia menuju arah yang salah- kaji selidik

Norlaile Abd Rahman
MGF29082019_NATIONAL-ECONOMIC-FORUM-201951
Sebahagian peserta National Economic Forum 2019 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur. foto AFFAN FAUZI,


KUALA LUMPUR- Kaji selidik tidak rasmi yang dijalankan semasa sesi perbincangan bertajuk Masa Hadapan Malaysia: Apa Yang Perlu Dilakukan Kerajaan sempena Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 mendapati 63 peratus responden berpandangan bahawa Malaysia sedang menuju arah yang salah.

Manakala 12 peratus berpendapat sebaliknya dan baki berkecuali.

Kaji selidik berkenaan disertai oleh 85 peserta daripada ratusan peserta forum berkenaan.

Kaji selidik berkenaan yang dilakukan apabila Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Wan Saiful Wan Jan menyuarakan kebimbangannya terhadap ahli-ahli politik yang suka mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Menurut Pengerusi Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional itu, ahli-ahli politik seharusnya lebih berhati-hati ketika mengeluarkan kenyataan yang berbaur perkauman.

“Satu perkara yang saya risaukan adalah mengenai hubungan kaum.

“Ramai yang bercakap mengenainya tetapi tidak ramai yang mahu berbincang dengan cara yang rasional sehingga menyebabkan isu-isu seperti itu dipolitikkan setiap hari.

“Hala tuju sebegini adalah membimbangkan,” katanya.

Bagaimanapun ketika ditanya, beliau tetap berpendapat Malaysia sedang berada di landasan yang sebenar tetapi seorang lagi panelis, Datuk Ng Yih Pyng yang mewakili komuniti perniagaan berpendapat sebaliknya.

Menurut Timbalan Ketua Setiausaha Dewan Perniagaan dan Industri Cina Malaysia (ACCCIM) itu, komuniti perniagaan tidak merasakan Malaysia tidak mempunyai hala tuju yang betul.

“Apa yang komuniti perniagaan mahukan adalah persekitaran mesra perniagaan dan sekiranya ada dasar-dasar yang baik yang boleh menyokong perniagaan, kerajaan mestilah mempunyai kekuatan politik untuk melaksanakannya,” katanya.

Forum Ekonomi Kebangsaan 2019 dianjurkan Dewan Perniagaan dan Industri Kebangsaan Malaysia (NCCCIM).- MalaysiaGazette


Tiada ulasan: