Selasa, 27 Ogos 2019

Malaysia harap boleh beli senjata dengan minyak sawit

Mohamad Sabu berkata perbincangan mengenai pembelian 
senjata menggunakan minyak sawit sudah dimulakan dengan 
China, Rusia, India, Pakistan, Turki dan Iran.
 
KUALA LUMPUR: Malaysia sedang berbincang dengan sekurang-kurangnya 6 negara mengenai kemungkinan menggunakan minyak sawit sebagai bayaran untuk senjata, dalam usaha ekonomi ketiga terbesar Asia Tenggara itu menggantikan kelengkapan lama untuk meningkatkan kemampuan pertahanannya.

Malaysia sukar menaiktaraf kelengkapan pertahanan sejak beberapa tahun lalu dan pengurangan dalam belanjawan pertahanannya tahun ini mengganggu usaha menggantikan kapal-kapal tentera laut, yang beberapa daripadanya sudah berkhidmat selama 35 tahun atau lebih.

Kos menjadi penghalang besar tetapi menggunakan minyak sawit sebagai bayaran untuk kelengkapan akan membuka peluang-peluang baru, kata Menteri Pertahanan Mohamad Sabu hari ini.

Mohamad berkata perbincangan mengenai pembayaran dengan minyak sawit itu sudah dimulakan dengan China, Rusia, India, Pakistan, Turki dan Iran.

“Jika mereka sedia menerima perdagangan tukar barang dengan swait, kami sangat sedia bergerak ke arah itu,” katanya.

“Kita ada banyak minyak sawit.”

Malaysia dan Indonesia, pengeluar minyak sawit kedua terbesar di dunia, terlibat dalam pertikaian dengan Kesatuan Eropah mengenai rancangannya untuk menghentikan secara berperingkat penggunaan komoditi itu dalam bahan bakar boleh dibaharui menjelang 2030 kerana kebimbangan mengenai pembasmian hutan.

Dua negara itu membekalkan 85% daripada minyak sawit global, sebahagian besarnya digunakan dalam makanan tetapi juga barangan seperti gincu dan sabun.

Mohamad tidak dapat pastikan berapa banyak minyak sawit yang Malaysia mahu dagangkan untuk kelengkapan pertahanan.

Selain kapal-kapal baru, Malaysia juga berminat untuk memiliki pesawat pengawasan jarak jauh, pesawat tanpa manusia dan kapal pemintas, katanya.

Rancangan tukar barang itu sebahagian daripada dasar pertahanan 10 tahun yang akan dibentangkan di Parlimen tahun ini, yang menurut Mohamad akan tumpu kepada meningkatkan kemampuan tentera laut, termasuk di Laut China Selatan yang menjadi pertikaian.

China menuntut lautan itu tetapi bertindik dengan kawasan yang dituntut Malaysia, Vietnam, Brunei dan Filipina. Taiwan juga menuntut sebahagian laut itu.

Susun atur kapal-kapal China di kawasan pertikaian itu baru-baru ini, di mana lebih AS$3.4 trilion barangan melaluinya setiap tahun, mencetuskan semula ketegangan dengan Vietnam dan Filipina.

Malaysia juga mengkritik pendirian China mengenai Laut China Selatan, tetapi tidak terlalu lantang baru-baru ini, terutama selepas China menyuntik berbilion dolar dalam projek prasarana menerusi Inisiatif Belt and Road.

Malaysia sentiasa mengawai kapal-kapal tentera laut dan pengawal pantai China yang memasuki sempadan neara, kata Mohamad, tetapi menambah China menghormati Malaysia dan “setakat ini tidak melakukan apa-apa yang akan memberikan masalah kepada kita”.

Bagaimanapun, negara-negara Asia Tenggara perlu bekerjasama untuk memastikan kepentingan mereka tidak ditenggelamkan oleh kuasa-kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan China yang berebut kuasa, katanya.

“Kita mahu rantau ini kekal aman dan neutral.”

Tiada ulasan: