Jumaat, 16 Ogos 2019

Majlis Raja-raja perlu campur tangan isu Dr Zakir Naik

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Apa niat mereka beri kesetiaan kepada India lebih dari Malaysia?


BANGI Majlis Raja-Raja digesa campur tangan berhubung isu pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik kerana menyentuh kepentingan antara agama terutama Islam.

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd Azmi Abdul Hamid kesal apabila terdapat segelintir masyarakat beria-ia menuntut Malaysia tunduk kepada desakan India dan mengekstradisi pakar perbandingan agama berkenaan.

“Apabila kerajaan Parti Bharatiya Janata (BJP) pimpinan Perdana Menteri, Narendra Modi menuntut Dr Zakir dihantar pulang ke India, walaupun jelas segala tuduhan ke atas beliau ternyata ditolak oleh mahkamah India, ada pihak mahu negara tunduk kepada India dan mengekstradisi beliau.

“Persoalannya apa niat mereka untuk memberi kesetiaan kepada India lebih daripada Malaysia? Jika benar mereka meletakkan kesetiaan kepada negara mendahului negara lain, maka sepatutnya keputusan kerajaan untuk beliau dibenarkan berada di negara ini dihormati.

“Namun, nampaknya niat mereka sudah tetap dan tidak mahu berubah. Walau apapun rasional diberi secara ilmiah dan secara undang-undang negara, mereka tetap mahu Dr Zakir dikeluarkan dari negara ini,” katanya.

Dek kerana itu, maka segala ucapan Dr Zakir diputar belit, ditafsir dan diertikan sebagai melanggar ketenteraman negara ini, untuk menjustifikasi bahawa beliau harus dihantar balik ke India, kata Mohd Azmi.

“Jelas kini mereka mengguna strategi media dan mobilisasi NGO tertentu untuk menghujani desakan terhadap kerajaan supaya Dr Zakir diusir, dengan harapan kerajaan akan tunduk kepada tuntutan negara asing.

“Media juga cenderung mengulangi ucapan Dr Zakir secara keratan di luar konteks seolah-olah tuduhan India terhadap beliau adalah benar. 

“Kerana mahu menunjukkan bahawa Malaysia perlu tunduk kepada India, maka kempen habis-habisan untuk mencari salah Dr Zakir dilancarkan,” katanya.

Bimbang keadaan itu, Mohd Azmi menggesa masyarakat penganut Hindu yang umumnya taat kepada negara ini, tidak dipengaruh oleh segelintir di kalangan mereka yang ghairah untuk membangkitkan tuntutan kerajaan India terhadap Dr Zakir.

“Kami juga menggesa segelintir golongan muslim yang cenderung melihat hujah Dr Zakir secara negatif, pada hal beliau berhujah secara ilmiah dan matang, supaya lebih jujur agar tidak menyumbang kepada sikap membenci tanpa bukti.

“Kami menyarankan oleh kerana isu ini banyak menyentuh kepentingan antara agama terutama agama Islam, maka Majlis Raja-raja Melayu perlu campur tangan. 

“Mereka yang menyimpan niat meraih kepentingan politik dari isu ini perlu diarah menghentikan eskploitasi agama untuk memecahbelah masyarakat,” katanya.

Terdahulu beberapa menteri Kabinet seperti Ahli Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, Ahli Parlimen Ipoh Barat, M Kula Segaran serta Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman menggesa kerajaan mengusir Dr Zakir.

Gesaan itu atas dakwaan pendakwah antarabangsa dari India itu mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di negara ini dan menyentuh perkara sensitif membabitkan masyarakat berbilang etnik.

Bagaimanapun, Dr Zakir mendakwa ceramahnya di Kelantan disalah tafsir dan sengaja diputar belit pihak tertentu.


Tiada ulasan: