Rabu, 28 Ogos 2019

Kelantan tak kaya, tapi kami bukan negeri termiskin, kata timbalan MB

Mohd Amar Nik Abdullah berkata, rakyat Kelantan boleh hidup 
dengan pendapatan RM2,000 tetapi wang itu tidak mencukupi 
bagi penduduk Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)
 
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan pimpinan PAS mempertikaikan kenyataan Putrajaya mengklasifikasikan ia negeri paling miskin di Malaysia dan menganggap petunjuk yang digunakan bagi status itu tidak memadai.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah berkata soal kemiskinan di negeri itu perlu dilihat daripada pelbagai sudut.

Katanya, jika hendak dikatakan miskin, tetapi kadar pengangguran dan kemiskinan di Kelantan adalah sama di peringkat nasional.

“Kita tidak menafikan Kelantan bukanlah negeri yang kaya, namun untuk menyatakan ia antara negeri termiskin adalah tidak tepat.

“Kita juga mahu tahu apakah ukuran yang digunakan untuk menunjukkan Kelantan antara negeri termiskin. Jika dikira data orang yang berdaftar dengan e-Kasih dan individu yang membuat pinjaman tabung Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM)…rasanya banyak lagi perkara yang perlu dijelaskan,” katanya selepas mesyuarat Exco di Kota Darul Naim di sini, hari ini.

Beliau berkata, jika hendak dibandingkan pendapatan RM2,000 sebulan di Kuala Lumpur dan di Kelantan, sudah pasti ia berbeza.

Katanya, rakyat boleh hidup dengan pendapatan RM2,000 di Kelantan, tetapi ia pasti tidak mencukupi untuk warga Kuala Lumpur disebabkan pelbagai kos tinggi.

“Pendapat saya, mungkin sikap orang Kelantan yang tidak suka menonjol dari segi pendapatan mereka kerana sebab-sebab tersendiri.

“Apa yang kita tahu, walaupun kelihatan miskin, tetapi penduduk di sini kemungkinan mempunyai harta seperti tanah dan rumah sewa berbanding pendapatan berdaftar mereka,” katanya mengulas kenyataan mengatakan Kelantan antara negeri termiskin di Malaysia, selepas Sabah dan Sarawak.

Amar berkata, Kelantan bukan negeri kaya, tetapi untuk menyatakan ia negeri paling miskin adalah tidak tepat.

Semalam, Timbalan Menteri Hal Ehwal Ekonomi, Mohd Radzi Md Jidin dilaporkan berkata, Kelantan masih merupakan negeri termiskin di Semenanjung dan ketiga di Malaysia selepas Sabah serta Sarawak.

Radzi meminta semua pihak menerima hakikat Kelantan ialah negeri termiskin di Semenanjung.

Statistik dalam pengkalan data e-Kasih sehingga Jun lalu menunjukkan Kelantan mempunyai 6,218 orang miskin tegar, manakala 31,217 lagi tergolong dalam kategori miskin.

Radzi berkata, dari segi statistik, kadar kemiskinan Kelantan menyamai purata kemiskinan peringkat nasional, iaitu 0.4% tetapi hakikatnya masih ada kumpulan yang ketinggalan.

Tiada ulasan: