Sabtu, 17 Ogos 2019

Keberahian Anwar: Lebong negara

   
Mister Rais, will Anwar Ibrahim be the next prime minister of Malaysia?”

Terjemahan: Encik Rais, apakah Anwar Ibrahim akan menjadi perdana menteri Malaysia?

Soalan ini pernah ditanyakan kepada Hishamuddin Rais ketika ditemu bual oleh ketua pengarang majalah Time edisi Asia – Tuan John Colmey pada tahun 1997. Pada ketika itu Hishamuddn Rais telah diajak bertaruh. Rumah pesaka milik bondanya di Jelebu telah dijadikan barang pertaruhan.
Hishamuddin Rais menjawab dengan jelas: “Anwar will not be the next Prime Minister. Period.
Terjemahan: Anwar tidak akan menjadi perdana menteri. Khalas.

Hari ini soalan yang sama sedang menjadi lebong negara. Semenjak malam 9 Mei 2018 lagi soalan ini telah menghantui politik Malaysia. Malah saya telah mentakrifkan bahawa keberahian Anwar untuk jadi perdana menteri ini telah membajak dan mengelencongkan agenda reform.

Saban bulan, saban minggu dan saban hari - di dalam dan di luar negara - soalan sama ada Anwar akan menjadi perdana menteri terus dilebongkan.

Saya sendiri telah menulis untuk memberi pandangan tentang agenda keberahian Anwar Ibrahim.

Tulisan kali ini diharap akan dapat menambah pencerahan agar kita semua kembali ke garis perjuangan untuk bersama meneroka perubahan struktural demi kebaikan negara ini.

Untuk pencerahan kali ini saya berikan latar agar kita semua memahami apa yang tersurat dan apa yang tersirat.

Pertama: Dalam PRU14 – ketika berkempen - sahih ada disebutkan bahawa Anwar adalah perdana menteri menunggu jika kerajaan Pakatan Harapan berjaya didirikan. Perdana menteri menunggu adalah tema kempen mengolah persetujuan orang ramai untuk meraih undi. Jawabnya Pakatan berjaya.

Kata kunci di sini ialah menunggu. Kata tersirat ialah mengolah persetujuan orang ramai.

Kata kunci

Kedua: Pada 1 Januari 2019, Utusan melaporkan kenyataan Saifuddin Abdullah, ketua seketeriat Pakatan Harapan bahawa tidak ada tarikh tetap bila peralihan ini akan berlaku. Ini kenyataan dari Seketeriat Pakatan Harapan. Bukan dari blog Tukar Tiub.

Kata kunci ialah tidak ada tarikh tepat. Kata tersirat heboh heboh dua tahun Mahathir letak jawatan hanya lebong kosong.

Ketiga: Pada 8 Mei 2019, sempena satu tahun tertubuhnya kerajaan Pakatan Harapan akhbar Berita Harian telah membuat temu bual dengan perdana menteri Mahathir Muhamad. Secara jelas Mahathir berkata:

“Tugas saya hanyalah untuk menyediakan negara sebaik mungkin agar ia boleh diambil alih oleh pengganti saya.”

Mahathir Mohamad
Kata kunci di sini ialah meyedikan negara sebaik mungkin. Kata tersirat semua dalam angin – semua atas kayangan. Mahathir bercakap bukan hanya berlapik malah berlapis-lapis. Boleh diberi pelbagai tafsiran.

Keempat: Pada 22 Jun 2019 dalam Berita Harian Anwar berkata “isu peralihan kuasa dianggap selesai.”

Kata kunci di sini ialah selesai. Kata tersirat ialah “dianggap selesai”. Anwar menganggap selesai. Tetapi ini hanya anggapan Anwar.

Kelima: Pada 12 Julai 2019, Azmin Ali membuat kenyataan yang dia bersetuju dengan kenyataan Mukhriz tentang isu peralihan kuasa yang tidak ada tarikh muktamad.

Kata kunci di sini ialah tidak ada tarikh yang muktamad. Kata tersirat ialah persetujuan antara dua gedebe – satu gedebe PKR dan satu lagi gedebe Bersatu. Ops, jangan buat silap. Salah seorang gedebe ini ialah anak Mahathir. Kita boleh tafsirkan ini cakap ayah dari mulut anak. Amin.

Dalam masa yang sama Si Mahathir terus berkias-kias bahawa dia akan menepati janji. Dalam masa yang sama si Anwar menjalankan projek untuk memastikan yang dirinya akan naik tahtha mengganti Mahathir dan bukan Jonah dan bukan Syed Husin Ali.

‘Jubah’ penyokong Anwar

Para penyokong tegar Anwar yang memakai pelbagai jubah terus melompat dan menjerit-jerit menyebut-yebut “janji Mahathir”. Mereka beratip ke hulu ke hilir dengan mantra janji Mahathir.

Para penyokong Anwar ada yang memakai jubah Otai Reformasi. Ada memakai jubah kajian akademik. Ada memakai jubah pelancaran buku. Semua beratib untuk mengingatkan janji Mahathir.

YB Abdulah Sani sering dijemput untuk memulakan ratib.

Otai Reformasi
Lalu persoalan timbul. Janji macam mana? Apa bentuk janji ini? Siapa saksi janji ini?

Saya tidak menafikan ada kemungkinan si Mahathir ini membuat janji. Bila, di mana dan bagaimana janji ini dibuat saya tidak arif.

Justeru, poorah dengan janji Mahathir ini. “Pukrak mukrak” dengan janji Mahathir. Siapa Mahathir? Apa hak si Mahathir ini membuat janji ke sana sini. Membuat janji ke darat ke baruh. Justeru janji ini tidak ada apa-apa makna.

Membuat janji bukan satu yang pelik lagi tidak menghairankan.

Tetapi awas dan berwaspada. Ini janji untuk kerusi perdana menteri.

Sama ada Mahathir menjanjikan kerusi perdana menteri ke, kerusi rotan ke, kerusi plastik ke, atau pun kerusi kayu maharaja China seperti yang telah digunakan oleh Haziq untuk membuat rakaman video, semua ini tidak penting. Mahathir boleh menjanjikan bulan, bintang dan beg Birkin kepada Anwar. Tidak ada siapa ambil pot. Itu hak Mahathir untuk berjanji. Dan hak Anwar untuk menjinjing beg Birkin ketika mengiring timbalan perdana menteri.

Bila saya menulis sedemikian maka ramai akan menuduh bahawa saya telah mendapat dedak dari Mahathir. Hishamuddin Rais telah menerima dedak dari Azmin Ali. Dedak atau tidak dedak bukan persoalan. Malah Hishamuddin Rais telah lama berharap dan menunggu dedak yang tak sampai-sampai. Walau pun dedak tak sampai fakta masih membuktikan bahawa janji Mahathir tidak memiliki apa-apa nilai dalam hal siapa menjadi perdana menteri Malaysia. Khalas.

Betul ke ini? Atau Hishamuddin Rais membuat onar?

Bro, naratifnya begini...

Membuat onar? Tidak saya bukan membuat onar. Saya cuba memberi pencerahan kenapa Mahathir selalu berkata yang dia akan menepati janji. Kenapa Anwar selalu dakwa yang dirinya adalah bakal menjadi perdana menteri Malaysia.

Bro, naratifnya begini, si Anwar ke hulu ke hilir mendakwa yang dia bakal menjadi perdana menteri agar semua penyokong akan terus setia menyokong dirinya. Para penyokong tegar Anwar ini ada dalam parti dan ada di luar parti. Ada yang menyelit dan ada yang baru sampai. Semua melabur harapan agar Anwar menjadi perdana menteri.

Untuk penyokong Anwar, apa agenda ekonomi Anwar untuk Malaysia, apa rancangan Anwar untuk anak semua bangsa bukan persoalan. Sama ada Anwar minum pagi makan kuih pau dari Singapura atau New York cheese cake bukan persoalan. Untuk mereka yang penting Anwar jadi perdana menteri. Khalas.

Ada dakwaan Anwar mengaku akan menjadi PM kerana mahu semua tauke – yang terang, yang gelap, yang lendir, yang duduk atas bukit dan yang duduk di bawah tanah – akan datang melabur ke pejabat gemerlapan Anwar di Bukit Gasing. Saya yakin ada YB akan beralih kiblat jika tahu yang si Anwar hanya berlebong kosong.

Anwar menjadikan agenda dirinya untuk menjadi perdana menteri sebagai lebong negara kerana Anwar mahu pegawai kerajaan – polis dan tentera – bersimpati terhadap dirinya. Anwar beratib ke hulu ke hilir dengan alat pembesar suara dengan tujuan untuk memastikan pegawai- pegawai kerajaan akan mula menyokong dirinya. Anwar mahu semua KSU dan timbalan KSU mula berpayung bawah payung Bukit Gasing. Anwar tidak mahu dirinya hanya dilihat sebagai pembawa beg Birkin. Anwar mahu memiliki kilang Birkin yang disembur dengan minyak wangi AV.

Anwar juga buat heboh dalam senyap-senyap dakwa dirinya pengganti Mahathir untuk memastikan Lim Guan Eng dan ayahnya akan memberikan sokongan kepada dirinya. Sokongan dua Lim ini penting. Malah dalam heboh-heboh senyap ini akan membuka peluang kepada Lim untuk belanja Anwar minum pagi makan kuih pau Singapura.

Kenapa pula Mahathir terus berkata yang dia akan menepati janji?

Bro, senang sahaja jawabnya. Mahathir mahu kestabilan untuk mentadbir negara yang koyak rabak.
Untuk memberi tahu bahawa Malaysia selamat untuk pelabur. Para pelabur luar negara yang berniat melabur berjangka panjang mahu kepastian. Maka inilah yang tersurat dan tersirat dalam kenyataan Mahathir.

Jadi apakah ini bererti Anwar akan menjadi perdana menteri mengganti Mahathir?

Jawapan jelas dari Hishamuddin Rais ialah Anwar tidak akan menjadi perdana menteri selepas Mahathir. Khalas.

Kenapa Hishamuddin Rais berkata sedemikian. Jawabnya cukup senang. Jawabnya terang dan jelas. Lebong negara dari mulut Anwar satu hal. Jangan kita semua dibajak oleh keberahian Anwar sahinggakan kita gagal untuk berfikir dan menilai. Jangan kita terperangkap dengan lebong Anwar Ibrahim.

Malaysia negara setengah feudal dan setengah kapitalis. Budaya feudal masih merangkumi kita semua. Tak perlu saya buktikan siapa cium tangan siapa. Dalam masa yang sama Malaysia juga mengamalkan raja berperlembagaan. Malaysia juga mengamalkan ‘politik electrorial’. Politik electorial dalam bahasa Melayu ialah politik mengundi.

Sistem pentadbiran Malaysia bukan ala Saudi atau Brunei. Kita ada pilihan raya. Kita ada parlimen. Kita ada wakil rakyat. Kita ada yang Berhormat. Salah seorang yang berhormat ialah Abdullah Sani.

Mahathir Muhamad bukan raja yang boleh bertitah. Dan kita anak semua bangsa wajib mengikut titah perintah Mahathir. Mahathir juga wajib sedar dia dipilih oleh rakyat. Mahathir menjadi PM bukan kerana janji tapi kerana diyakini oleh majoriti ahli parlimen.

Wahai Mahathir Muhamad, kamu boleh menjerit terlolong menjanjikan kerusi perdana menteri kepada Anwar, kepada Mukhriz, kepada Marina, kepada Marani, kepada Maratut atau kepada mana-mana malaun. Bukan satu jenayah untuk membuat janji.

Parlimen Malaysia
Tetapi dalam Perlembagan Malaysia sosok yang layak untuk menjadi perdana meteri ialah sosok yang mendapat kepercayaan majoriti – terbanyak - dalam parlimen. Ertinya para YB – seramai 222 orang - termasuk Haji Hadi termasuk Zahid Hamidi termasuk Takiyuddin termasuk Mat Sabu dan termasuk Abdullah Sani akan mengundi untuk memilih siapa pengganti Mahathir.

Sosok yang memiliki jumlah terbanyak maka nama sosok ini akan dihantar kepada yang di-Pertuan Agong untuk dinobatkan sebagai perdana menteri. Amin.

Ini bukan lebong Hishamuddin Rais. Jika kurang yakin sila rujuk Perlembagaan Malaysia. Jika masih tidak yakin sila pukul telefon tanya Tommy Thomas. Bukan pukul Tommy Thomas.

Pada ketika ini Anwar Ibrahim tidak mendapat sokongan majoriti ahli parlimen. Jika dibuat pengundian sulit maka Anwar tidak akan mendapat sokongan majoriti. Anwar mendapat sokongan zilch dari parti Islam PAS. Tak tahu berapa undi sokongan dari Amanah, DAP dan Bersatu. Dalam Parti Keadilan Rakyat yang Anwar menjadi presiden, si Anwar ini tidak mendapat sokongan penuh. Khalas.

Betul ke fakta ini? Atau hanya propaganda kosong. Untuk jawapan tunggu minggu hadapan.


*HISHAMUDDIN RAIS seorang aktivis politik, penulis dan pengarah filem.


Tiada ulasan: