Rabu, 14 Ogos 2019

Ingat samseng sangat [METROTV]


Mohd Azam Shah Yaacob



LAGAK samseng lelaki yang memecahkan cermin sisi kereta dipandu seorang wanita di Jalan Yaacob Latiff berhampiran bulatan Cheras, Sabtu lalu, mengundang padah apabila dia akhirnya ditahan polis, semalam.

Suspek yang berusia 27 tahun ditahan selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras jam 3.30 petang.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Mokhsein Mohamed berkata, dalam kejadian pada jam 2.30 petang itu, suspek dan mangsa yang masing-masing memandu sebuah kereta terbabit dalam satu kemalangan.

Katanya, kemalangan berlaku apabila suspek menghentikan kereta secara mengejut ketika menghampiri bulatan Cheras.


“Mangsa iaitu wanita yang berusia 20 tahun tidak sempat mengelak dan terus melanggar bahagian belakang kereta suspek.

“Suspek kemudian turun dari kenderaan dan mengeluarkan kata-kata kesat sebelum menumbuk cermin sisi kereta mangsa hingga patah dan kemudian membalingnya ke arah kereta mangsa,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa sempat merakam tindakan ganas suspek menggunakan telefon bimbit sebelum meneruskan perjalanan kerana bimbangkan keselamatannya.

Katanya, mangsa kemudian membuat laporan polis di Balai Polis Sungai Besi pada jam 4.33 petang hari kejadian.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan suspek kini ditahan di lokap Balai Polis Cheras bagi proses permohonan reman hari ini,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Tiada ulasan: