Jumaat, 23 Ogos 2019

‘Hina tulisan jawi, tapi perguna untuk lariskan produk’

fazleen safina

 

PAS setuju syor larang tulisan jawi pada bungkusan produk bukan Islam

BANGI– PAS menyifatkan cadangan melarang penggunaan tulisan jawi pada bungkusan produk bukan Islam wajar dipertimbangkan.

Pengerusi Lajnah Pekerja dan Pengguna PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, walaupun cadangan itu tidak popular, bahkan menjumudkan inklusif dakwah serta berisiko menambahkan lagi kebencian kaum, namun ia mampu menangani banyak isu berkaitan sekiranya diusulkan akta khas ke Parlimen.

Ini kerana katanya, tulisan jawi jelas telah disalah guna, dimanipulasi selain menjadi unsur pemerdayaan terhadap pengguna, sedangkan ia dihina, diperlekeh serta difitnah kononnya sebagai gerakan Islamisasi oleh masyarakat bukan Islam.

“Jika demikian buruk dan jahatnya tulisan jawi, maka amat tidak wajar ia dijadikan hanya untuk melariskan produk yang tak ubah seperti didagangkan atau dilacurkan.

“Sedangkan martabatnya bagi umat Melayu-Islam amat tinggi, tiba-tiba bagi pihak yang mahu mencampak buangnya, menjadikan ia alat tarikan dan keuntungan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Dewan Pembangunan Perniagaan Usahawan Malaysia (MCED) menggesa Kerajaan membawa akta khas ke Parlimen bagi melarang penggunaan tulisan Jawi pada pembungkusan produk bukan Islam.

Presiden MCED, Datuk Nazilah Idris berkata, tulisan Jawi yang disalah guna akan mengelirukan pengguna kepada status halal sesuatu produk.

Mengulas lanjut, Siti Zailah berkata, penggunaan tulisan jawi haruslah tidak digunakan sewenang-wenangnya tanpa pengertian apatah lagi jika sekadar mengaburi mata pengguna secara salah dan menipu.

Pada masa sama, beliau kesal apabila banyak penipuan dalam perniagaan yang memperalatkan jawi mahupun logo halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) masih berlaku, namun penguatkuasaannya pula hanya tertakhluk kepada aduan pengguna.

Justeru, beliau mengesyorkan penggunaan logo halal Jakim wajar dipinda, yakni dengan tidak menggunakan kaligrafi jawi bagi perusahaan, premis atau produk yang bukan dimiliki oleh orang Islam.

Beliau berkata, cadangan itu akan memberi hak secara peribadi kepada pengguna untuk membuat pilhan alternatif yang luhur dan tanpa sebarang keraguan.

“Hal ini kerana perkara itu berkait rapat dengan keyakinan iman apabila timbulnya kes-kes pertikaian terhadap Islam, serta segala simbol membabitkan soal ketidakjujuran.

“Lebih penting dari itu juga, ini adalah satu pendekatan ‘mendidik’ mereka yang selama ini sombong dan angkuh merosakkan reputasi agama, umat dan segala yang bersangkut-paut dengan Islam.Moga ia jadi pengajaran dan mampu merasionalkan kembali tindakan emosi pihak terbabit,” katanya.


Tiada ulasan: