Selasa, 20 Ogos 2019

Halang Zakir Naik ceramah jejas usaha reformasi demokrasi

Oleh Siti Fatimah Ishak 
 
Kerajaan digesa berpegang kepada dasar keterbukaan dan dialog: Isma
BANGI – Tindakan menghalang Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah di seluruh negara adalah langkah ke belakang, sekali gus memenangkan puak bukan Islam yang sememangnya mahu mengusir pendakwah antarabangsa itu.

Kesal dengan keputusan tidak bijak pihak berkuasa, Amir Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Ustaz Abdullah Zaik Abd Rahman berkata, dalam isu ini kerajaan sepatutnya berpegang kepada dasar keterbukaan dan dialog.

“Saya lihat halang Dr Zakir menyampaikan ceramah seperti menjadikan Malaysia negara tertutup yang menghalang kebebasan bersuara.

“Nampak macam negara patah balik ke belakang dalam mempromosi keterbukaan dan demokrasi,” katanya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.

Polis hari ini memaklumkan larangan menghalang Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah awam di seluruh negara atas sebab keselamatan negara.

Difahamkan, arahan telah dikeluarkan kepada kesemua kontinjen polis di seluruh negara dan dilakukan demi keselamatan dan memelihara keharmonian kaum.

Sehubungan itu, Ustaz Abdullah meminta ‘rakan-rakan’ yang memperjuang kebebasan suara untuk kembali ke landasan asal dan membela Dr Zakir Niak.

Pada masa sama, beliau juga mengingatkan golongan pemimpin bukan Islam supaya tidak bersikap paranoid terhadap Islam sehingga menjejaskan usaha reformasi demokrasi di negara ini.

Isu Dr Zakir tercetus apabila beliau didakwa mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di negara ini dan menyentuh perkara sensitif membabitkan masyarakat berbilang etnik.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu, status penduduk tetap Zakir boleh ditarik balik sekiranya kenyataannya terbukti menjejaskan kesejahteraan negara.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, kerajaan akan menunggu penyiasatan penuh daripada pihak polis.


Tiada ulasan: