Selasa, 27 Ogos 2019

Gangguan sistem di KLIA tiada unsur salah laku, rasuah, kata SPRM

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata, setakat ini 
SPRM tidak menerima apa-apa aduan atau laporan berkaitan 
salah laku atau rasuah yang boleh mengaitkannya dengan gangguan 
sistem teknikal di KLIA. (Gambar Bernama)

KUALA TERENGGANU: Gangguan sistem di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) tidak mempunyai kaitan dengan sebarang salah laku atau unsur rasuah, kata Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Latheefa Koya.

Beliau berkata, setakat ini SPRM tidak menerima apa-apa aduan atau laporan berkaitan perkara itu yang boleh mengaitkannya dengan gangguan sistem teknikal di lapangan terbang tersebut.

“Setakat ini memang tiada…bagaimanapun SPRM bersedia menjalankan siasatan sekiranya terdapat aduan yang mengaitkan gangguan teknikal itu dengan salah laku atau unsur rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Sesi Dialog Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Industri Perhotelan Terengganu Bersama Ketua Pengarah SPRM di sini hari ini.

Gangguan teknikal pada Sistem Pengurusan Keseluruhan Lapangan Terbang (TAMS) selama 4 sejak Rabu lepas menyebabkan kelewatan penerbangan dan sangat mengecewakan penumpang.

Gangguan itu juga melibatkan fungsi utama seperti penyambungan WiFi, Sistem Paparan Maklumat Penerbangan (FIDS), kaunter daftar masuk, dan sistem pengendalian bagasi.

Bagaimanapun, situasi di KLIA pulih dengan penumpang dapat mengetahui status penerbangan pada FIDS, yang diperbaiki dan proses daftar masuk telah kembali normal.

Tiada ulasan: