Jumaat, 23 Ogos 2019

Exco Perak: Saya boleh agak siapa di belakang tuduhan rogol

MALAYSIAKINI

   
Exco Perak Paul Yong berkata dia boleh mengagak individu yang menurutnya bertanggungjawab di sebalik tuduhan merogol pembantu rumah Indonesia yang dihadapinya.

"Saya sebenarnya boleh (agak) suspek dan saya lebih kurang tahu siapa di belakang (tuduhan) ini.

"Saya tak ada bukti yang kukuh dan tak boleh bongkarkan di sini," katanya ketika ditemui di Mahkamah Sesyen Ipoh pagi ini.

Bendahari DAP Perak itu juga menyatakan rasa tidak puas hati terhadap polis yang menyiasat kes berkenaan.

"Saya percaya kepada profesionalisme polis untuk jalankan tugas, tapi satu yang saya tak puas hati, untuk polis yang terlibat dalam siasatan kes ini mereka tidak menjalankan tugas dengan profesional.

"Kalau polis jalankan siasatan dengan profesional, maka hari ini saya tidak dituduh ke mahkamah seperti peguam saya katakan tadi," katanya.

Terdahulu ahli dewan undangan negeri Tronoh itu mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan di bawah Seksyen 376 Kanun Keseksaan.

Mahkamah membenarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Semalam, Speaker Perak Ngeh Koo Ham membuat laporan polis mendakwa bahawa individu yang membawa pembantu rumah Indonesia berkenaan untuk membuat laporan polis terhadap Yong menerima RM100,000 dan diugut oleh individu yang mempunyai senjata api agar tidak mendedahkan perkara berkenaan

Tiada ulasan: