Selasa, 20 Ogos 2019

Dr Zakir Naik dilarang ceramah seluruh negara

sitifatimah 

 

Larangan demi keselamatan negara dan keharmonian kaum: Polis

BANGI– Polis melarang pendakwah antarabangsa, Dr Zakir Naik menyampaikan ceramah awam di seluruh negara.

Arahan itu dikeluarkan oleh Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Mazlan Mansor menerusi notis edaran dalaman secara rahsia.

Mengesahkan perkara berkenaan, Ketua Komunikasi Korporatnya, Datuk Asmawati Ahmad berkata, keputusan itu dibuat demi keselamatan negara.

“Arahan telah dikeluarkan kepada kesemua kontinjen polis di seluruh negara dan dilakukan demi keselamatan negara dan memelihara keharmonian kaum,” katanya seperti lapor media tempatan.

Terdahulu, beberapa negeri sudah memaklumkan larangan Dr Zakir menyampaikan ceramah, antaranya Kedah, Perlis dan Melaka.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini dilaporkan berkata, status penduduk tetap Zakir boleh ditarik balik sekiranya perbuatannya (kenyataannya) terbukti menjejaskan kesejahteraan negara.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, kerajaan akan menunggu penyiasatan penuh daripada pihak polis.

Isu Dr Zakir tercetus apabila beliau didakwa mempersoalkan kesetiaan penganut Hindu di negara ini dan menyentuh perkara sensitif membabitkan masyarakat berbilang etnik.


Tiada ulasan: