Selasa, 13 Ogos 2019

Bukan saya lulus syarikat kereta nasional ke-3, kata Dr M




SEPANG: Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata bukan dia yang meluluskan keputusan melantik DreamEDGE Sdn Bhd untuk membangunkan projek kereta nasional ke-3.

“Bukan saya luluskan tetapi ia sudah dilakukan. Jadi, tidak ada apa-apa yang saya boleh katakan,” katanya pada sidang media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur hari ini.

Perdana menteri mengulas dakwaan Presiden MCA, Wee Ka Siong bahawa Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking berbohong tentang pembiayaan projek itu.

Kerajaan sebelum ini mengumumkan projek itu akan dibiayai pihak swasta.

Ketua Pegawai Eksekutif DreamEdge, Khairil Adri Adnan sebelum ini berkata, 10% pegangan dalam syarikat itu dimiliki VentureTECH Sdn Bhd.

Wee berkata VentureTECH milik Kumpulan Industri-Kerajaan bagi Teknologi Tinggi (MIGHT), yang 100% milik kerajaan.

Mahathir hari ini berkata agensi kerajaan mungkin berminat dengan projek itu selepas menilai kemampuan DreamEDGE.

“Saya syak syarikat DreamEDGE lakukan banyak perkara dan dilihat berkemampuan. Maka, agensi kerajaan lain berminat mengambil bahagian.”

Putrajaya beberapa kali berkata ia tidak akan membiayai projek itu, yang dibangunkan dengan kerjasama Daihatsu Motors dari Jepun.

Model pertama dijangka siap pada 2021 dan pengeluaran besar-besaran dijangka pada 2031.

Tiada ulasan: