Isnin, 26 Ogos 2019

Alamak, terkejut punya pasal...

Hamzah Osman
 
 

TERTEKAN pedal minyak selepas terkejut kucing melintas, sebuah kereta dipandu seorang wanita merempuh pagar Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LTAL) hari ini.

Dalam kejadian 8.40 pagi itu, pemandu berusia 45 tahun itu dikatakan dalam perjalanan menyusuri jalan bersebelahan LTAL menghala ke arah Kampung Padang Wahid, Mukim Kedawang.

Ketua Polis Daerah Langkawi Superintendan Mohd Iqbal Ibrahim berkata, sejurus tiba di tempat kejadian pemandu kereta dipercayai cuba membrek untuk mengelak kucing melintas tetapi tersalah menekan pedal minyak.

“Berikutan itu, kereta terbabit gagal dikawal sebelum merempuh tiang dan pagar milik Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

“Akibat kejadian itu, tayar belakang dan hadapan sebelah kanan kereta terperosok ke dalam longkang, selain bampar’ hadapan kereta terbabit turut pecah,” katanya ketika dihubungi di sini.

Bagaimanapun, Mohd Iqbal berkata, pemandu kereta terbabit yang juga penduduk tempatan tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Pemandu kereta yang bekerja sendiri didapati memiliki lesen memandu yang sah.

“Kes disiasat mengikut Peraturan 10 LN 166/59 kerana memandu dengan cuai sehingga menyebabkan kemalangan,” katanya.

Tiada ulasan: