Selasa, 20 Ogos 2019

9 muka baru dipanggil sertai sesi latihan Harimau Malaya

MALAYSIAKINI

   

Ketua jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe, menyenaraikan sembilan muka baru untuk sesi latihan pusat di Wisma FAM di Kelana Jaya, Selangor, mulai Ahad ini.

FAM menyenaraikan 27 pemain bagi sesi latihan pusat bagi menghadapi perlawanan persahabatan menentang Jordan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 30 Ogos sebelum bertemu Indonesia pada perlawanan sulung pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Jakarta, 5 Sept ini.

Sembilan pemain baru itu ialah ​penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Jothy dan tunggak pertahanan Selangor, Muhammad Syahmi Safari yang sebelum ini terpaksa diketepikan pada Jun lalu kerana kecederaan.

FAM dalam kenyataan hari ini berkata turut dipanggil adalah tiga lagi pemain Perak iaitu Brendan Gan, J Partiban dan Nazirul Naim Che Hashim serta dua pemain Felda United iaitu Muhammad Hadin Azman dan Muhammad Danial Amier Norhisham.

Turut disenaraikan ialah pemain JDT, Ahmad Hazwan Bakri dan pemain PKNS FC, Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew.

Muka baru tersebut akan menggantikan lima pemain daripada skuad 23-pemain yang menewaskan Timor Leste menerusi agregat 12-2 pada aksi timbal balik pusingan pertama kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.

Lima pemain yang digugurkan ialah Muhammad Syazwan Andik Mohd Ishak (JDT), Faisal Abdul Halim (Pahang), Mohd Syazwan Zainon (Selangor), D Kenny Pallraj (Perak) dan penjaga gol Zarif Irfan Hashimuddin (PKNS FC).

FAM turut memaklumkan lima pemain lagi - iaitu penjaga gol Selangor, Khairulazhan Khalid; Amirul Azhan Aznan (Perak), Rawilson Batuil dan Azzizan Nordin (Sabah) serta Muhammad Syazwan Andik - diletakkan dalam senarai bersedia jika mana-mana pemain dalam senarai 27 pemain yang dipanggil itu mengalami kecederaan.

Selepas menentang Indonesia, Harimau Malaya akan berdepan dengan Emiriah Arab Bersatu pada aksi kedua pusingan kelayakan Kumpulan G di laman sendiri pada 10 Sept ini.
Senarai 27 pelatih skuad Harimau Malaya:

Penjaga gol: Mohd Farizal Marlias (JDT), Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (Perak), Mohd Ifwat Akmal Chek Kassim (Kedah).

Pemain pertahanan: Adam Nor Azlin dan La'vere Corbin-Ong (JDT), Shahrul Mohd Saad; Nazirul Naim Che Hashim (Perak), Matthew Davies (Pahang), Muhammad Syahmi Safari (Selangor), Muhammad Irfan Zakaria (Kuala Lumpur), Dominic Tan Jun Jin (PDRM FC).

Pemain tengah: Mohamed Syamer Kutty Abba (JDT), Brendan Gan (Perak), Muhamad Nor Azam Abdul Azih (Pahang), Mohd Faiz Mohd Nasir (Selangor), Muhammad Akram Mahinan (PKNS FC), Muhamad Danial Amier Norhisham (Felda United).

Pemain sayap: Muhammad Safawi Rasid dan Muhammad Akhyar Abdul Rashid (JDT), J Partiban (Perak), Mohamadou Sumareh (Pahang), Muhammad Hadin Azman (Felda United).

Penyerang: Muhammad Syafiq Ahmad dan Ahmad Hazwan Bakri (JDT), Muhammad Shahrel Fikri Md Fauzi (Perak), Norshahrul Idlan Talaha (Pahang), Muhammad Jafri Muhammad Firdaus Chew (PKNS FC).- Bernama


Tiada ulasan: