Jumaat, 12 Julai 2019

'Wawancara Mukhriz beri gambaran Anwar tamak kuasa'


 
Wawancara Menteri Besar Kedah Mukhriz Mahathir bersama Nikkei Asian Review memberikan gambaran Anwar Ibrahim tamak kuasa, meski pun nama MP Port Dickson itu tidak disebut, kata Setiausaha Khas Presiden PKR, R Suresh Kumar.

Menyifatkan wawancara anak perdana menteri itu menyasarkan 'serangan' terhadap Anwar Ibrahim, Suresh Kumar meminta Mukhriz supaya menghormati permuafakatan dalam PH apabila memberi kenyataan pada masa akan datang.

"Kami warga PKR sangat sedih dan terkejut dengan wawancara Mukhriz yang berkata bahawa dia tidak bercita-cita tinggi seperti individu lain yang sudah menetapkan tekad untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

"Walaupun, Mukhriz tidak menyebut nama Anwar, namun secara umum wawancara itu memberi perspektif bahawa Anwar semakin tamak untuk menjadi perdana menteri," katanya kepada Malaysiakini.

Pegawai presiden PKR berkata pendapat peribadi MP Jerlun itu yang menyebut "tidak bercita-cita menjadi perdana menteri" itu dihormati tetapi Mukhriz tidak perlu memperkecilkan orang lain untuk mengangkat dirinya sendiri.

"Anwar tidak pernah tamak atau menetapkan tekad menjadi perdana menteri. Ia adalah satu keputusan diambil oleh Pakatan sejak PRU12 yang lalu."

"Kalau, Anwar tamak kuasa, saya percaya Anwar boleh mengambil peluang selepas jawatan perdana menteri ditawarkan kepada Kak Wan (Dr Wan Azizah Wan Ismail)," katanya lagi.
Menurut Suresh Kumar, menjadi pengetahuan umum, selepas PH menang pada PRU14, Wan Azizah ditawarkan menjadi perdana menteri.

"Tapi, Wan Azizah dan Anwar bersama-sama menolak tawaran tersebut dan mencadangkan Tun M (Dr Mahathir Mohamad) sebagai perdana menteri kerana itu adalah telah dipersetujui dalam Majlis Presiden Pakatan Harapan walaupun tiada dinyatakan di atas kertas.

"Ia cuma perjanjian secara lisan. Dan kami (PKR) menghormati perjanjian tersebut. Harap saudara Mukhriz membuat yang sama," katanya lagi.

Suresh Kumar berkata hubungan presiden PKR dan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad masih akrab.

Terdahulu, Mukhriz berkata bersedia untuk menggalas tugas yang lebih besar dalam pentadbiran kerajaan persekutuan namun tidak semestinya sebagai perdana menteri.

"Saya terbuka (untuk berkhidmat di peringkat persekutuan) dan ia sebenarnya bergantung kepada kepimpinan ketika itu sama ada saya yang terbaik," katanya dalam wawancara bersama Nikkei Asian Review.

Mukhriz berkata beliau tidak bercita-cita tinggi seperti individu lain yang sudah menetapkan tekad untuk menjadi pemimpin nombor satu negara.

"Saya tidak terlalu bercita-cita tinggi, saya tidak tetapkan bahawa saya mesti menjadi perdana menteri satu hari nanti seperti yang dilakukan orang lain," katanya tanpa menyebutkan nama khusus.
Menteri besar Kedah itu juga berkata beliau tidak akan berkhidmat dengan tanggapan bahawa suatu hari nanti akan menjadi perdana menteri.

"Saya tidak akan cuba angkat diri sendiri seolah-olah saya sudah ditetapkan perlu menjadi perdana menteri suatu hari nanti," katanya.

Mukhriz, 54, juga berkata tiada garis masa tertentu yang dipersetujui bapanya, yang meraikan hari lahir ke 94 semalam, untuk menyerahkan jawatan perdana menteri kepada Presiden PKR Anwar Ibrahim.

"Tiada perjanjian peralihan kuasa perlu berlaku dalam tempoh dua tahun.

"Mungkin ada cadangan seperti itu, tapi tiada yang dinyatakan di atas kertas atau perjanjian secara lisan," katanya.

Sementara itu, Suresh Kumar memberitahu hubungan PKR dan Bersatu masih baik.

"Saya rasa ia cuma pandangan peribadi Mukhriz. Bukan pendirian parti Bersatu.

"Sebab, saya masih nampak banyak pemimpin dan ahli Bersatu datang bertemu Anwar dan menyatakan sokongan bakal perdana menteri negara ini," jelasnya.

Untuk rekod, menjelang PRU-14, dilaporkan ada persetujuan dalam kalangan pimpinan PH supaya Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri selama dua tahun sebelum digantikan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson.


Tiada ulasan: