Isnin, 15 Julai 2019

Wabak malaria di Kuala Lipis tidak ancam nyawa: Dzulkefly

siti hafidah

 

Negara catat prestasi memberangsangkan basmi malaria

PUTRAJAYA– Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad mengesahkan berlaku wabak malaria yang melanda komuniti orang asli di Pos Lenjang, Kuala Lipis, Pahang.

Ketika mengesahkan laporan berita awal hari ini bahawa lebih 10 orang asli dimasukkan ke hospital setelah mereka disyaki menghidap Plasmodium vivax malaria, Dr Dzulkefly berkata, wabak malaria itu yang menjejaskan 11 orang asli adalah dalam bentuk ringan dan tidak mengancam nyawa.

Semua mereka ketika ini dirawat di Hospital Kuala Lipis, katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Saintifik ke-33 Persatuan Farmakologi dan Fisiologi Malaysia 2019 di sini hari ini.

Dr Dzulkefly berkata, orang asli yang dijangkiti penyakit itu dijumpai semasa pengesanan kes aktif oleh Kementerian Kesihatan terhadap 300 orang asli di penempatan itu pada 12 Julai.

Pada 11 Julai, beliau berkata seorang daripada orang asli yang datang untuk mendapatkan rawatan di sebuah klinik desa di Kuala Lipis didapati positif malaria.

Berikutan itu, Kementerian Kesihatan mengadakan pengesanan kes aktif dan 10 lagi orang asli didapati positif menghidap malaria daripada jenis yang sama.

Sementara itu, Dekan Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Datuk Prof Dr Adeeba Kamarulzaman yang turut hadir dalam sidang akhbar itu berkata, terdapat lima jenis malaria dan vivax malaria adalah jenis malaria biasa yang terdapat di Malaysia.

“Lazimnya pesakit akan sembuh dengan sangat cepat selepas tiga hari diberi drug antimalaria,” katanya.

Dr Adeeba berkata, secara umumnya vivax malaria tidak menimbulkan kebimbangan dari segi kesihatan.

“Malaysia mempunyai bekalan ubat dan drug antimalaria yang mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia sedang dalam proses untuk membasmi vivax malaria.

“Oleh itu, adalah malang apabila masih berlaku wabak di beberapa tempat di negara ini. Bagaimanapun secara keseluruhan, negara mencatat prestasi memberangsangkan dari segi pembasmian malaria,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan: