Khamis, 18 Julai 2019

Video tulen, pelaku semburit tak pasti

Mohd Azam Shah Yaacob
 
 

PEMIMPIN parti politik dikenal pasti menjadi dalang melakukan pakatan jahat merakam dan menyebar video hubungan songsang dikaitkan dengan Haziq Abdullah Abdul Aziz bersama seorang lagi lelaki.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador berkata, pihak menghasilkan video itu menerima upah ratusan ribu ringgit, bertujuan mengaib dan menjatuhkan maruah individu tertentu.

“PDRM sudah menerima hasil analisis dijalankan CyberSecurity Malaysia (SyberSecurity) ke atas video yang dimaksudkan.

“Kebarangkalian video itu tulen (authentic) adalah tinggi,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata, hasil proses pengecaman wajah (facial recognition) dijalankan adalah negatif.

Katanya, susulan itu polis tidak dapat mengaitkan pelaku di dalam video itu dengan individu yang dimaksudkan.

“Video berkenaan disebarkan dengan tujuan membangkitkan kegusaran masyarakat,” katanya.

Video hubungan songsang yang tular di media sosial sejak 13 Jun lalu didakwa antara Haziq Abdullah dengan Datuk Seri Mohamad Azmin Ali, bagaimanapun Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu menafikan tuduhan berkenaan.

Tiada ulasan: