Jumaat, 12 Julai 2019

Undang-undang sama, DAP tak perlu pertikai kerja polis

ainulillia

 

 Keadilan mesti ditegakkan, jangan jadi seperti kes ‘rasuah’ Guan Eng

BANGI – Tidak wajar mengkritik tindakan polis menahan Exco DAP Perak, Paul Yong yang didakwa merogol pembantu rumah warga negara Indonesia, tegur Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim. 

Beliau berkata, penahanan Paul Yong adalah satu proses biasa dalam pentadbiran keadilan bagi membolehkan polis melakukan siasatan.

“Saya terkejut membaca kenyataan Ahli Parlimen DAP, Lim Lip Eng yang mempertikai penahanan Exco DAP dalam kes rogol amah atas alasan seorang tidak harus dianggap bersalah sebelum dibuktikan bersalah.

“Jika rakyat biasa pun ditahan untuk siasatan, Exco DAP berkenaan pun tidak boleh terlepas daripada melalui proses yang sama. 

“Ia bukan bermaksud beliau sudah pun didapati bersalah tetapi PDRM perlu melengkapkan siasatan. Saya percaya seperti kes lain, terdapat ruang untuk pertimbangan ikat jamin,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Lim Lip Eng mempersoalkan tindakan polis yang dakwanya ‘tergesa-gesa’ dan tidak melengkapkan siasatan terlebih dahulu sebelum menahan Paul Yong. 

Lip Eng menegaskan, adalah tidak wajar polis menahan Adun Tronoh dari DAP itu memandangkan belum ada bukti pemimpin tersebut bersalah.

Malah, katanya, tiada indikasi yang menunjukkan Yong berpotensi untuk lari atau memusnahkan bukit berkaitan tuduhan yang dilemparkan, justeru pemimpin itu tidak sepatutnya ditahan.

Mengulas lanjut Ahmad Amzad mengingatkan DAP bahawa semua orang adalah sama di hadapan undang-undang. 

“Tidak ada penjenayah yang akan mengaku melakukan jenayah. Biarlah pihak berkuasa menjalankan tugasnya dan biarlah mahkamah yang membuat pengadilan. 

“Saya harap keadilan ditegakkan dan bukan digelapkan seperti yang berlaku dalam kes rasuah Lim Guan Eng di mana kes digugurkan sebelum perbicaraan oleh ‘permainan’ dari pejabat Peguam Negara. 

“Rakyat akan memerhati adakah kes ini akan diteruskan kepada pendakwaan atau fail siasatan akan diletakkan sebagai ‘no futher action’,” katanya.


Tiada ulasan: