Rabu, 24 Julai 2019

UMNO tetap tidak akan bekerjasama dengan parti bersekongkol DAP

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF24072019_MESYUARAT-MT-UMNO_16
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bercakap kepada media selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato' Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. foto FAREEZ FADZIL
 

KUALA LUMPUR – UMNO mengulangi pendirian untuk tidak mengadakan sebarang bentuk kerjasama dengan mana-mana parti yang bersekongkol atau berkongsi kuasa politik dengan DAP.

Perkara itu diputuskan secara muktamad menerusi Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang berlangsung hari ini, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Zahid menegaskan, UMNO juga tidak akan mengadakan sebarang perbincangan dengan parti politik yang bersama dalam arus Pakatan Harapan (PH), lebih-lebih lagi jika DAP masih ada bersama mereka.

“Sama ada UMNO dan Pas, kita tidak akan mengadakan apa-apa perundingan selagi mana-mana pihak terus mengadakan persekongkolan dengan DAP,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di Menara Dato Onn, PWTC di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Zahid berkata, meskipun ada perbincangan dilakukan dengan parti-parti politik selain Pas, hanya presiden sahaja yang diberikan kuasa untuk mengadakan perbincangan itu dan tidak ada mana-mana individu di dalam parti layak untuk berbuat demikian.

Malah, perbincangan yang diadakan itu perlu mematuhi syarat yang telah ditetapkan di dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO.

Sebelum ini, Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) menegaskan bahawa UMNO dan BN tidak akan bekerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana parti itu bersekongkol dengan DAP yang memperjuangkan agenda “Malaysian Malaysia”.

Katanya, agenda DAP itu tidak boleh diterima sama sekali dalam pentadbiran negara ini yang mempunyai rakyat berbilang kaum.

Terdahulu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempelawa parti politik Melayu termasuk UMNO untuk menyertai PPBM sebagai menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu.

Mahathir yang juga Pengerusi PPBM turut berkata, langkah penyatuan itu penting kerana parti politik Melayu di negara ini sudah berpecah kepada enam parti dan ia dilihat merugikan kaum Melayu sendiri. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: