Sabtu, 13 Julai 2019

UMMAH pertahan Akta Hasutan

Oleh Siti Hafidah Abd Ghaffar

 

Sesiapa sahaja boleh hina raja, Bumiputera jika akta dimansuhkan

KUALA LUMPUR– Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) bertindak sebagai ‘check and balance’ kerajaan, tegas dalam mempertahankan Akta Hasutan daripada dimansuhkan kerana akta itu mempertahankan institusi raja, hak Bumiputera dan agama Islam.

Pengerusi UMMAH, Haji Aminuddin Yahaya yang juga Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) menegaskan, sekiranya akta itu dimansuhkan, sesiapa sahaja boleh menghina raja, hak Bumiputera serta memansuhkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan.

“Dan kita bersetuju bahawa, jika ia berkaitan dengan Islam maka tidak boleh berpisah dengan Melayu. Melayu dan Islam adalah sinonim sebab itu kita pertahankan Akta Hasutan ini,” katanya ketika sidang media di KL International Hotel, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta memberi pandangan mengenai Akta Hasutan yang sehingga kini masih belum dimansuhkan.

Mac lalu, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, polis masih boleh menggunakan Akta Hasutan 1948 bagi menjalankan siasatan kerana undang-undang itu belum dimansuhkan.

Bagaimanapun Khamis lalu, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memaklumkan akta baharu bagi menggantikan akta itu sudah ada dan sedang dalam proses penyusunan.

Beliau dilaporkan berkata, kerajaan akan memperkenalkan undang-undang baharu itu dalam masa terdekat.

Difahamkan, pemansuhan Akta Hasutan 1948 adalah antara janji kerajaan Pakatan Harapan dalam reformasi undang-undang di negara ini.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai isu yang UMMAH ketengahkan ketika ini, Haji Aminuddin berkata, banyak isu diperjuangkan termasuk Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), pemansuhan hukuman mati dan tindakan menghina raja seperti yang berlaku pada seorang individu yang dikenakan hukuman baru-baru ini tetapi diberikan penangguhan.

“Kita ‘suspicios’ seolah-olah ada tangan dibelakangnya menyebabkan hukuman itu ditangguhkan, sedangkan isu-isu lain cepat sahaja dijalankan hukuman.

“Selain itu, kita juga perjuangkan isu Adib dalam konteks keadilan. Di sini kita nampak peguam negara campur tangan dalam inkues yang diadakan. Kita rasa itu tindakan tidak wajar, sebab itu kita desak beliau letak jawatan,” katanya merujuk kepada prosiding inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.


Tiada ulasan: