Rabu, 24 Julai 2019

Tubuh SMJK Tamil akan rosakkan lagi perpaduan nasional: Berjasa

fazleen safina 

 

Gesa bubar Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India

BANGI– Cadangan untuk menubuhkan Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Tamil hanya akan merosakkan lagi perpaduan nasional yang menjadi agenda besar negara, kata Ketua Wanita Berjasa, Azizah Che Awang.

Beliau berkata, sepatutnya hanya satu sekolah aliran sahaja yang perlu dilaksanakan di Malaysia, bagi mencapai aspirasi perpaduan negara.

“Tapi sekarang Kementerian Pendidikan mahu bina pula SMJK Tamil. Tidak cukupkah dengan SMK yang ada? SMK telah menyediakan silibus pendidikan yang menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa pengantar.

“Tidakkah itu penubuhan SMJK Tamil ini akan menggagalkan lagi hasrat nasional iaitu perpaduan antara kaum?” soalnya dalam satu kenyataan kepada Ismaweb.

Terdahulu, Nie Ching yang juga Timbalan Menteri Pendidikan memberitahu, kementeriannya sedang mengkaji keperluan untuk menubuhkan SMKJ Tamil bagi meningkatkan tahap pendidikan masyarakat India.

Katanya, kementerian itu telah menubuhkan Jawatankuasa Penasihat Pendidikan Masyarakat India bagi meneliti lanjut perkara itu.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk T. Mohan yang ingin tahu status pembinaan SMJK Tamil pertama di Malaysia, yang dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan Persekutuan seperti mana yang terkandung dalam Janji ke-lima: Iltizam khusus Pakatan Harapan untuk masyarakat India.

Menyelar cadangan itu, Azizah yakin penambahan SMJK Tamil kelak akan menyebabkan sekolah vernakular terus dikekalkan, dan dibimbangi akan meminggirkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan.

“Justeru, Berjasa meminta KPM menarik balik atau bubarkan sahaja penubuhan Jawatankuasa Penasihat SMJKT yang sedang dilaksanakan ketika ini,” katanya.


Tiada ulasan: