Isnin, 15 Julai 2019

Salur GST ke akaun lain menyalahi undang-undang - AG

MALAYSIAKINI

   
Kutipan GST yang disalurkan terus ke Akaun Hasil Disatukan kerajaan persekutuan adalah menyalahi undang-undang, kata Peguam Negara Tommy Thomas.

Dalam surat kepada Jawatankuasa Kira-kira Awam (PAC) Oktober lalu, Thomas berkata perkara itu melanggar Seksyen 7 Akta Tatacara Kewangan 1957 dan Seksyen 54 Akta Barangan dan Perkhidmatan 2014.

Beliau berkata tindakan itu melanggar prinsip asas undang-undang amanah dan keperluan perakaunan amanah.

"Rejim GST adalah berdasarkan asas bahawa pembayar cukai akan terima bayaran balik bagi jumlah GST yang mereka bayar dalam menghasilkan pembekalan bercukai.

"Hasrat parlimen adalah pembayar cukai menerima balik bayaran ini.

"Dengan kegagalan untuk memastikan bahawa pembayar cukai menerima bayaran balik mereka, kerajaan yang dahulu gagal melaksanakan hasrat parlimen," katanya.

Untuk mengatasinya, Thomas menasihatkan kerajaan membayar cukai benefisiari termasuk faedah kerana kerajaan mendapat keuntungan daripada penggunaan GST yang tidak wajar.

Surat peguam negara itu bagaimanapun, tidak menyatakan mengenai subjek liabiliti jenayah tetapi menekankan bahawa ia mesti "dipertimbangkan".

Thomas juga memberi amaran bahawa kerajaan mesti secara proaktif mencapai penyelesaian dengan pembayar cukai benefisiari untuk mengelakkan masalah undang-undang.

Jawapan Thomas dilampirkan dalam laporan PAC berhubung penangguhan pembayaran balik GST sebanyak RM19.4 bilion yang dikeluarkan pada hari ini.

PAC menyimpulkan bahawa walaupun "tiada wang yang hilang", Tabung Amanah GST tidak mencukupi kerana ia digunakan untuk tujuan lain.

Jawatankuasa itu juga menyimpulkan bahawa pentadbiran terdahulu melanggar Seksyen 54 Akta Barangan dan Perkhidmatan 2014 kerana membayar wang GST ke Akaun Hasil Disatukan.

Tiada ulasan: