Ahad, 14 Julai 2019

PPBM akan tubuh 501 cawangan di Sabah

Ariffin Arif (dari kiri), Masidi Manjun, Hajiji Noor dan Ronald 
Kiandee mengadakan sidang media selepas mesyuarat khas PPBM
Sabah di Kota Kinabalu, hari ini.
 
KOTA KINABALU: PPBM Sabah akan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan untuk menubuhkan 501 cawangan di seluruh negeri itu.

Ketua PPBM Sabah, Hajiji Noor berkata permohonon itu akan dibuat dalam tempoh seminggu, dengan 1 cawangan ditubuhkan di setiap daerah mengundi.

“Sungguhpun kita mendapat respons luar biasa melalui permohonan pelbagai pihak untuk menaja cawangan, namun pertimbangan perlu dibuat berdasarkan peruntukan perlembagaan parti yang menetapkan penubuhan cawangan mengikut daerah mengundi,” katanya selepas mesyuarat khas PPBM Sabah hari ini.

Beliau berkata, tujuan mesyuarat khas itu untuk melengkapkan struktur organisasi kepimpinan PPBM Sabah dengan membuat pengisian jawatan exco, pengerusi biro dan pengarah tugasan khas.

“Antara jawatan yang diisi adalah ketua PPBM Sabah, iaitu saya sendiri dan timbalan, Masidi Manjun, Ketua Wanita (Azizah Mohd Dun, Ketua Pemuda Mohd Isquzawan Israq Arsit), Setiausaha (Ronald Kiandee), Bendahari (Mohd Arifin Mohd Arif dan Ketua Penerangan Khairul Firdaus Akbar Khan).”

Dengan pelantikan dan pengisian jawatan itu, langkah pertama yang akan diambil parti itu ialah memperkukuhkan pentadbiran parti dengan melengkapkan struktur organisasi hingga peringkat akar umbi.

“Kita juga fokus menggerakkan jentera parti di semua peringkat untuk berfungsi sebagai mekanisme sokongan dalam pelaksanaan dasar dan program kerajaan persekutuan dan negeri, khususnya yang menyentuh kepentingan pribumi dan rakyat secara keseluruhannya.

“Oleh itu, kepimpinan PPBM Sabah membuat ketepatan untuk menganjurkan siri jelajah ke setiap bahagian untuk berinteraksi dan menyampaikan mesej berkenaan kepada kepimpinan parti di akar umbi.”

Hajiji berkata, pendekatan itu juga bermatlamat membuka ruang kepada masyarakat memahami agenda perjuangan PPBM dan seterusnya menggalakkan lebih ramai orang menyertai parti itu sebagai wadah politik baru di negeri itu.


Tiada ulasan: