Selasa, 30 Julai 2019

Polis nafi laporan forensik kes exco Perak didakwa rogol amah hilang

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Polis hari ini menafikan dakwaan seorang pemilik akaun Facebook yang mendakwa laporan forensik kes seorang exco kerajaan Perak yang didakwa merogol pembantu rumah warga Indonesia hilang.

Ketua Polis Perak, Razarudin Husain berkata dakwaan pemilik akaun “1 Malaysia Tolak DAP” itu suatu fitnah dan dilihat mampu mencabar kewibawaan polis.

“Satu laporan polis dibuat polis Perak berikutan tindakan pemilik Facebook 1 Malaysia Tolak DAP yang memuat naik status berbunyi ‘laporan forensik kes rogol exco DAP Perak dilaporkan hilang.

Bagaimana boleh hilang? Ada tangan ghaibkah yang mengarahkan laporan forensik tersebut dilenyapkan?’ dengan mengaitkan kenyataan media ketua Wanita MCA,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Razarudin berkata siasatan berkaitan dakwaan itu dilakukan Seksyen 500 Kanun Keseksaan bagi kesalahan memfitnah, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau menasihatkan semua pihak tidak membuat kenyataan atau spekulasi tidak bertanggungjawab yang boleh menjejaskan siasatan dan menidakkan ketelusan, keadilan dan nama baik polis.

Pada 8 Julai lalu, seorang wanita warga Indonesia berumur 23 tahun membuat laporan polis mendakwa dirogol majikannya, yang juga exco kerajaan Perak.

Polis sudah melakukan tangkapan dan menahan suspek pada 9 Julai bagi bagi menjalankan siasatan mengikut prosedur yang ditetapkan. Suspek kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis.

Tiada ulasan: