Sabtu, 20 Julai 2019

PKR ulangi tolak politik jijik

fazleen safina 

 

Tindakan tegas terhadap ahli, pemimpin disabit bersalah: Anwar

BANGI – Parti Keadilan Rakyat (PKR) hari ini mengulangi prinsip dan komitmen menolak sekeras-kerasnya sebarang bentuk politik jijik, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Presiden parti itu berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung siasatan polis yang masih berjalan terhadap kes penyebaran video seks sejenis yang mengaitkan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali.

Beliau dalam satu kenyataan berkata, PKR menerima baik kenyataan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador semalam, bahawa Mohamed Azmin tidak terbabit dalam satu video yang disebar baru-baru ini.

“Berkenaan dakwaan terdapat ahli atau pemimpin parti politik yang terlibat dalam tindakan sebaran video tersebut, parti KEADILAN tidak bertolak ansur dan akan mengambil tindakan tegas mengikut perlembagaan parti, jika terdapat penglibatan mana-mana anggota KEADILAN yang disabitkan kesalahan berlandaskan undang-undang,” katanya.

Khamis lalu, Abdul Hamid mengesahkan video seks membabit bekas Ketua Pemuda PKR Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz dan lelaki dikatakan mirip Mohamed Azmin adalah tulen.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan CyberSecurity tidak dapat memastikan 100 peratus pelaku dalam video berkenaan.

“Jawapan yang kami terima, mereka kata tulen. Tapi mereka tidak dapat sahkan 100 peratus siapa pelaku itu (video).

“Saya selaku Ketua Polis Negara tidak boleh memandai-mandai. Perkara itu menjadi subjek dalam perbicaraan sekiranya dibawa ke muka pengadilan nanti,” katanya.

Sehingga kini, polis telah menahan 11 individu dengan tujuh daripadanya dibebaskan, selepas tempoh reman tamat serta keterangan diambil.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed memaklumkan bahawa akan memanggil dua ahli politik bagi membantu siasatan kes terbabit.


Tiada ulasan: