Jumaat, 12 Julai 2019

Pemandu teksi ugut protes selepas Putrajaya beri 3 bulan pada pemandu e-hailing

Shamsubahrin Ismail berkata, beliau akan bersama pemandu 
teksi dari seluruh negara mengadakan protes di depan Kementerian 
Pengangkutan minggu ini.
 
KUALA LUMPUR: Penasihat Big Blue Taxi Facilities Sdn Bhd, Shamsubahrin Ismail mengugut pemandu teksi dari seluruh negara akan mengadakan bantahan di Kementerian Pengangkutan minggu ini selepas Kabinet melanjutkan tarikh akhir untuk semua pemandu perkhidmatan e-hailing mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV).

Beliau menyifatkan alasan diberikan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook untuk memberi lanjutan tempoh itu sebagai tidak bijak dan menyebabkan pemandu teksi marah.

“Kalau kita cakap tidak bijak, dia marah (kita) tidak hormat dia.

“Adakah dia dapat rasuah daripada Grab? Kita akan beli khemah pantai kempen depan Kementerian Pengangkutan. Saya akan turun sekali,” katanya kepada FMT pada sidang media di sini hari ini.

Terdahulu, Loke mengumumkan Kabinet membenarkan pemandu e-hailing yang belum memiliki lesen PSV untuk meneruskan operasi mereka sehingga 12 Oktober ini.

Katanya, pemandu yang tidak mempunyai lesen PSV akan diberikan nasihat, pendidikan dan amaran untuk memenuhi peraturan baru bagi perkhidmatan e-hailing.

Kerajaan sebelum ini memberi masa sehingga hari ini untuk semua pemandu e-hailing untuk mengikuti latihan 6 jam dan membayar yuran RM200 untuk mendapatkan lesen PSV.

Hari ini, Shamsubahrin turut membidas Loke gagal melaksanakan tugasnya sebagai menteri.

“Saya sudah jangka keputusan ini. Mana boleh tangguh 3 bulan untuk penguatkuasaan?

“Kita sudah tunggu 2 tahun dan sepatutnya hari ini tindakan diambil bagi pemandu e-hailing yang tiada lesen PSV, malangnya ini tidak berlaku.”

Tiada ulasan: