Rabu, 10 Julai 2019

'Pasangan Orang Asli baru kahwin jadi sasaran program perancang keluarga'


   
Suntikan perancang keluarga memberikan kesan sampinngan yang teruk, kata seorang aktivis akar umbi masyarakat Orang Asli.

Penduduk kampung suku Temiar, Nora Kantin memberitahu Malaysiakini kakitangan Kementerian Kesihatan yang datang ke perkampungan Orang Asli dengan klinik bergerak berjanji memperbaiki kesihatan dan stamina tetapi akibat kesihatan yang diterima masyarakat itu adalah sebaliknya.

"Wanita di kampung saya diancam jururawat dan diberitahu mereka mesti mengikuti program perancang keluarga, sama ada dalam bentuk makan pil atau suntikan dan jika tidak berbuat demikian maka kad perubatan mereka akan dirampas.

"Pasangan Orang Asli baru berkahwin khususnya menjadi sasaran dan dipaksa mengambil suntikan selepas hanya mendapat seorang cahaya mata.

"Suntikan itu memberikan kesan buruk kepada kesihatan kami. Ramai perempuan naik berat badan, daripada kurus menjadi gemuk dengan cepat. Kami semua merasa lemah selepas menerima suntikan itu," kata Nora dari Kampung Lambok, RPS Kuala Betis, Gua Musang, Kelantan.

Suntikan bagi mengawal kelahiran itu mengandungi hormon progestin yang menghalang kehamilan yang tidak dirancang selama tiga bulan pada satu-satu masa.  

Hormon itu mencegah pengovuman dan meningkatkan pembentukan lendir di sekitar pembukaan serviks.

Menurut Pusat Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (FDA), kesan sampingan suntikan tersebut termasuk gangguan kitaran haid (pendarahan), sakit perut/ ketidakselesaan, penambahan berat badan, pening, sakit kepala, gugup dan penurunan nafsu berahi.

Nora, 31 berkata dirinya ditekan supaya mengambil suntikan perancang keluarga selepas kelahiran anak keempatnya pada tahun 2014.

Kini, selepas menjadi pemimpin wanita dalam Jaringan Orang Asli Semenanjung (JOAS), Nora menzahirkan rasa sedih setelah mendengar amalan sedemikian berleluasa.

Semalam Orang Asli daripada lima buah kampung di Gerik dan Sungai Petani hadir ke parlimen bagi menggesa kerajaan menerusi Kementerian Kesihatan (KKM) agar menghentikan tindakan memberi ubat perancang kepada masyarakat itu.

Wakil jurucakap Orang Asli dari Kampung Sungai Papan, Gerik, Anjang Aluej berkata, meskipun mereka dimaklumkan berkaitan ubat itu namun ia tidak dijelaskan dengan maklumat lanjut berkaitan kesan pengambilan ubat tersebut.

Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) sedang menyiasat perkara ini dan dakwaan lain mengenai penduduk Orang Asli diberikan pil dan suntikan perancang keluarga itu.

Jurucakap JKOA memberitahu Malaysiakini mereka akan menyiasat dan mengeluarkan kenyataan media mengenai dakwaan tersebut.

Sementara itu, pegawai kepada Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata: "Menteri akan mengulas hal ini di Sungkai, Perak esok. Kami ada program bersama Orang Asli di sana."

Sementara itu Pengarah Eksekutif NGO Centre for Orang Asli Concerns, Dr Colin Nicholas memetik laporan pada masa lalu bahawa wanita suku Temiar di Tasik Temenggor, Perak memberikan kesaksian "mereka diancam dengan dadah berbahaya jika tidak mahu menerima suntikan berkenaan."
"Kenyataan ini dirakam," kata Dr Colin kepada Malaysiakini.

Tiada ulasan: