Rabu, 31 Julai 2019

NGO desak PM tukar MB Perak yang didakwa anti-Orang Asli

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu.

KUALA LUMPUR: Pertubuhan Jaringan Perkampungan Orang Asli Johor (JPOAJ) mendesak Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad menukar Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu yang didakwa anti-Orang Asli.

Pengerusi Dolah Tekoi berkata mereka mahu Faizal diganti dengan seseorang yang lebih positif membela rakyat.

“Beliau langsung tidak mahu mendengar keluhan rakyat, jauh sekali berunding bagi menyelesaikan suatu isu berbangkit tetapi lebih suka berkonfrontasi,” katanya kepada FMT.

“Setiap hari beliau hanya keluarkan kenyataan yang tidak membina tetapi lebih kepada kontroversi terutama dalam isu tanah adat Orang Asli.”

Faizal pada Isnin dilapor berkata tiada tanah di Perak yang diiktiraf sebagai tanah adat untuk Orang Asli, mengikut undang-undang tubuh negeri itu.

Beliau menambah tiada konflik antara kerajaan Perak dan Orang Asli, hanya permasalahan di Hulu Perak kerana Orang Asli menghalang aktiviti pembalakan yang mempunyai kelulusan di Hutan Simpan Air Chepam, Gerik baru-baru ini.

Dolah berkata kenyataan Faizal itu akan mengundang kebencian pengundi Orang Asli terhadap kerajaan.

Beliau percaya masalah timbul bukan kerana undang-undang tubuh negeri tetapi sifat peribadi Faizal.

“Namun ia menggambarkan pendirian kerajaan negeri kerana dia seorang menteri besar,” katanya.

Dolah kecewa dengan kepimpinan Faizal kerana menjangkakan kedudukan Orang Asli akan lebih baik bawah Pakatan Harapan.

“Saya sangat meluat dengan janji yang dicanang semasa pilihan raya lalu yang kononnya mahu membela nasib Orang Asli,” katanya.

Tiada ulasan: