Sabtu, 13 Julai 2019

Mahkamah Persekutuan sahkan 2 bank berniat pecah-belah kesatuan sekerja

Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan bersetuju dengan pendirian 
NUBE bahawa langkah 2 bank menaikkan pangkat kakitangannya 
tanpa diberikan tugas setimpal bertujuan menghalang mereka 
menyertai kesatuan sekerja.
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari mendapati 2 bank cuba memecah-belahkan kesatuan sekerja (union busting) apabila menaikkan pangkat kakitangan perkeranian kepada eksekutif tanpa perubahan tugas atau penambahan kuasa.

Panel 5 hakim Mahkamah Persekutuan sebulat suara bersetuju dengan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) bahawa Bank Muamalat dan Alliance Bank bertindak demikian supaya kakitangan terbabit hilang kelayakan menyertai NUBE.

Mahkamah mendapati, walaupun petugas terbabit bergelar eksekutif, mereka tidak diberikan sebarang kuasa tambahan yang mencerminkan kenaikan pangkat itu.

Sebaliknya, mereka dikehendaki terus menjalankan tugas seperti sebelumnya.

Dalam penghakiman Rabu lepas (10 Julai 2019), hakim Rohana Yusuf, Mohd Zawawi Salleh, Abang Iskandar Abang Hashim, Idrus Harun and Nallini Pathmanathan bersetuju dengan keputusan Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan sebelum ini.

Mereka seterusnya menolak rayuan Bank Muamalat and Alliance Bank dengan kos.

Lima hakim berkenaan bersetuju dengan NUBE selaku plantif bahawa kenaikan pangkat yang dilaksanakan oleh 2 bank itu hanya bertujuan mengubah status jawatan pekerja kepada eksekutif untuk mengekang mereka daripada menyertai kesatuan sekerja.
J Solomon.
NUBE sebelum ini memberitahu mahkamah bahawa tindakan 2 bank itu bersifat “union busting” yang bertujuan memaksa pekerja keluar daripada kesatuan, sekali gus melemahkan pengaruh dan kuasa rundingan NUBE.

Keputusan Mahkamah Persekutuan itu adalah kemuncak perbicaraan yang bermula 7 tahun lalu apabila NUBE menyaman 2 bank berkenaan berikutan tindakan mereka menaikan pangkat pekerja perkeranian kepada wakil perhubungan pelanggan (CRR) dan eksekutif perkhidmatan pelanggan (CSE).

NUBE berkata, walaupun kenaikan pangkat itu bermaksud mereka dijadikan eksekutif, namun skop pekerjaan petugas berkenaan masih merangkumi tugas perkeranian.

Pangkat baru sebagai eksekutif itu juga bermakna mereka tidak lagi layak menjadi ahli NUBE.

Ketua Pengarah Perhubungan Perusahaan akur dengan pendirian NUBE itu setelah mendapati kenaikan pangkat kakitangan di 2 bank itu tidak dibuat dengan ikhlas kerana mereka masih menjalankan tugas lama, selain tidak diberikan sebarang kuasa eksekutif.

Rumusan tersebut diterima pakai oleh Menteri Sumber Manusia ketika itu, namun ditolak oleh 2 bank terbabit yang menuntut satu semakan kehakiman.
Peguam NUBE, Edmund Bon.
Pada 2016, Mahkamah Tinggi menolak permohonan semakan kehakiman terbut, manakala setahun kemudian, Mahkamah Rayuan turut mengambil keputusan sama.

Peguam NUBE Edmund Bon menyifatkan keputusan Mahkamah Persekutuan sebagai bersejarah kerana ia boleh diguna pakai untuk melindungi kepentingan pekerja dalam semua sektor dan industri di negara ini.

“Perkara yang paling menonjol adalah ketiga-tiga sayap badan kehakiman negara bersetuju bahawa kenaikan pangkat yang dilakukan 2 bank ini adalah untuk menyamar niat mencantas hak pekerja menjadi ahli NUBE,” kata beliau.

Setiausaha Agung NUBE J Solomon berkata, susulan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, pihak kawal selia perbankan harus mengambil tindakan bersesuaian terhadap 2 bank berkenaan.

Beliau menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai kemenangan besar untuk warga pekerja dan gerakan kesatuan sekerja di Malaysia.

“Hak berpersatuan adalah hak asasi setiap pekerja. Majikan bukan sahaja harus menghormati hak ini, tetapi juga melindunginya daripada dicabuli oleh mana-mana pihak sekalipun,” tambah beliau.

Beliau berkata, Pelan Tindakan Kebangsaan Hak Asasi Manusia dan Perniagaan yang sedang digubal harus merangkumi peruntukan mewajibkan majikan menghormati hak berpersatuan sebagaimana tercatat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tiada ulasan: