Sabtu, 13 Julai 2019

Kes Wan Ji: Mana janji PH pertahan Perlembagaan?

siti hafidah

 

 PAS Selangor kesal keputusan mahkamah dipertikai

BANGI – PAS Selangor kesal dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Solidariti Pemuda Pakatan Harapan (PH) kerana mempertikaikan keputusan mahkamah mengenakan hukuman ke atas penceramah bebas, Wan Ji Wan Hussin.

Terdahulu, Anwar menyifatkan hukuman penjara setahun terhadap Wan Ji sebagai kerangka pemikiran usang, lapuk dan jumud yang masih wujud dalam pentadbiran.

Ahli Parlimen Port Dickson itu sekali gus berjanji untuk bertemu dengan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bagi membincangkan perkara itu.

Sementara Pemuda PH pula menyatakan solidariti buat Wan Ji yang dihukum penjara mengikut Akta Hasutan selama setahun.

Wan Ji dihukum penjara setahun selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam menolak rayuannya terhadap sabitan dan hukuman sembilan bulan penjara kerana menerbitkan perkataan menghasut dan menghina terhadap Sultan Selangor, tujuh tahun lalu.

Setelah dua hari menjalani hukuman penjara, dia dibenar oleh mahkamah menangguhkan hukuman itu. Keputusan itu dibuat Hakim Datuk Abdul Halim Aman memerintah terma-terma di Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini dilanjutkan.

Pada 10 September 2014, Wan Ji mengaku tidak bersalah menerbitkan perkataan menghina Sultan Sharafuddin Idris Shah termasuk membabitkan isu agama dalam akaun Facebooknya.

Kesalahan itu dilakukannya di Pejabat Perumahan Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Tingkat 5, Bangunan Sultan Salehuddin Abdul Aziz Shah, Seksyen 5, di sini jam 10 pagi, pada 5 November 2012.

Mengulas mengenai perkara itu, Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, kenyataan Anwar itu seolah-olah mencabar keputusan institusi kehakiman di negara ini sekali gus memberi gambaran negatif kepada orang awam.

“Manakala tindakan Solidariti Pemuda PH mempertikaikan hukuman itu adalah amat tidak wajar kerana hukuman penjara terhadap Wan ji telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam. Keputusan itu harus dihormati oleh semua pihak,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau menegaskan bahawa PAS Selangor tetap mempertahankan Raja-Raja Melayu dan institusi kehakiman bertepatan dengan semangat Rukun Negara iaitu Kesetiaan Kepada Raja dan Kedaulatan Undang-undang.

“Di manakah pengasingan kuasa yang dilaungkan oleh PH selama ini? Di manakah janji PH untuk mempertahankan Perlembagaan Malaysia, Rukun Negara, Raja-Raja dan Institusi Raja? Adakah PH tidak lagi memperjuangkan ‘Rule of Law’?” soal beliau.


Tiada ulasan: