Selasa, 16 Julai 2019

Kertas siasatan kes rogol Exco dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya

Abd Razak Mohd Ali, Astro Awani
Kertas siasatan kes rogol Exco dihantar ke Pejabat Pendakwa Raya
Datuk Razarudin (kiri) ketika perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Selasa. - Astro AWANI/Abd Razak Mohd Ali
 

IPOH: Kertas siasatan berhubung dakwaan seorang anggota Exco Kerajaan Negeri Perak, yang dituduh merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia, telah diserahkan kepada Pengarah Pendakwaan Negeri untuk tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun pihak polis masih menunggu dua lagi laporan iaitu laporan forensik dan perubatan.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kedua-dua laporan itu dijangka diperolehi dua atau tiga minggu lagi.

“Masih lagi ada dua atau tiga perkara yang perlu kita perolehi terutamanya laporan doktor dan juga laporan forensik.

“Insya Allah dalam masa terdekat, saya ingat dalam masa dua atau tiga minggu mungkin kita akan dapatkan laporan doktor, forensik dan juga laporan perubatan,” katanya selepas menghadiri perhimpunan bulanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak di Ipoh, pada Selasa.

Menurutnya, pembantu rumah yang membuat dakwaan ditempatkan di rumah perlindungan di Kedutaan Indonesia sementara menunggu siasatan selesai.

Razarudin turut menjawab persoalan mengapa suspek tidak ditahan reman.

“Apabila kita menyiasat sesuatu kes, yang perlu kita tangkap terutamanya sekiranya suspek ini akan mengganggu siasatan ataupun mangsa.

“Yang keduanya, sekiranya suspek ataupun orang yang ditohmah ini ataupun didakwa melakukan kesalahan ini kita dapati ada kemungkinan akan melarikan diri dan yang sangat penting, sekiranya tiada lagi siasatan yang perlu kita buat, kita juga tidak perlu menahan, ujarnya.

Tiada ulasan: