Khamis, 25 Julai 2019

Keadaan lebih tegang jika PKR hukum Farhash, kata penganalisis

Semalam biro politik PKR memutuskan untuk merujuk Farhash 
dan MB Selangor kepada lembaga disiplin parti itu. (Gambar fail)
 
PETALING JAYA: Penganalisis politik percaya tiadanya keperluan untuk mengenakan tindakan ke atas Pengerusi PKR Perak Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak kerana mengeluarkan tuduhan terbuka terhadap timbalan presiden parti itu, Mohamed Azmin Ali.

Pensyarah Univerisiti Malaya Awang Azman Awang Pawi berkata, jika lembaga disiplin PKR mengukum Farhash, maka situasi dalaman parti itu akan menjadi semakin tegang.

Jelasnya, terdapat ramai penyokong Farhash yang akan bersimpati kepadanya dan memprotes keputusan lembaga itu yang menghukum beliau.

“Ini kerana dikatakan 146 ketua bahagian PKR daripada 222 yang ada di seluruh negara menyokong dan memihak kepada kem Presiden PKR Anwar Ibrahim.

“Ini bersamaan sokongan 2/3 daripada bahagian yang ada,” katanya ketika dihubungi FMT.

Beliau berkata demikian apabila ditanya sama ada pengerusi Lembaga Disiplin PKR Ahmad Kassim perlu mengambil tindakan terhadap pemimpin negeri itu seperti yang didesak beberapa pihak.

FMT sebelum ini melaporkan Ahmad mengajak semua ahli PKR supaya berdamai dan tidak mengambil tindakan yang boleh memecah belahkan parti itu.

Mengulas lanjut, Awang Azman berkata sekiranya berlaku sebarang tindakan terhadap Farhash, sudah pasti perpecahan dalaman PR tidak boleh dielakkan lagi.

Justeru katanya, langkah terbaik adalah genjatan senjata politik dan memberikan tempoh bertenang di antara kedua-dua belah pihak.

Terdahulu, sekumpulan ahli PKR Selangor membuat laporan terhadap Farhash kerana laungan “Azmin semburit” yang dilaungkannya di hadapan IPD Dang Wangi selepas dibebaskan daripada reman 8 hari dalam siasatan berkaitan video seks sejenis mirip menteri.

Farhash sebelum itu meminta polis menahan Azmin bagi mengesahkan kredibiliti siasatan yang dilakukan, selain mempersoalkan keperluan pihak berkuasa menahan remannya selama 8 hari.

Penganalisis dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Kamarul Zaman Yusof berkata, setakat ini alasan untuk mengambil tindakan ke atas Farhash tidak kukuh, berbanding tindakan ke atas Menteri Besar Selangor Amirudin Shari dan Azmin sendiri.

Katanya, ini kerana tindakan sama boleh dikenakan ke atas Azmin dan pengerusi PKR Selangor, Amiruddin kerana dilihat membuat tuduhan terhadap Anwar sebagai dalang (penyebaran video seks sejenis).

“Ambil tindakan dalam konteks sekarang akan memerlukan lebih banyak tindakan diambil. Ini akan menjejaskan kedudukan PKR, terutamanya jika ia melibatkan ahli yang berjawatan seperti ahli Parlimen atau ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), apatah lagi jika mereka berjawatan menteri atau menteri besar.

“Jika menteri besar diambil tindakan seperti pecat, ini boleh mengakibatkan menteri besar ditukar.
Risikonya ialah jika Sultan tak bersetuju, maka akan berlaku krisis lebih besar,” katanya.Semalam Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil mengumumkan keputusan mesyuarat Biro Politik parti itu bahawa Farhash dan Amirudin diminta meghadap Lembaga Disiplin PKR berhubung kenyataan terbaru mereka berkait isu klip video seks yang tular sebelum ini.

Menurut kenyataan itu lagi, beberapa ahli lain juga akan diminta memberi penjelasan kepada lembaga berkenaan, yang baru-baru ini memutuskan pemecatan keahlian Haziq Aziz, lelaki di sebalik dakwaan video seks sejenis terhadap Azmin.

Haziq dipecat kerana membuat tuduhan rasuah secara terbuka terhadap pemimpin parti tanpa bukti.

Tiada ulasan: