Sabtu, 13 Julai 2019

Kadir Jasin syor wujud semula Kementerian Pengajian Tinggi

ISMA WEB


Tubuh suruhanjaya bebas tambah baik pendidikan tinggi negara

BANGI – Penasihat Media dan Komunikasi di Pejabat Perdana Menteri, Datuk A Kadir Jasin, mencadangkan kerajaan menubuhkan suruhanjaya bebas penambahbaikan pendidikan tinggi negara, susulan ‘konflik tenaga akademik di institusi pendidikan tinggi awam (IPTA)’.

Pada masa sama beliau juga berharap kerajaan memikirkan semula untuk mengasingkan Kementerian Pendidikan – yang menguruskan sekolah – dengan menghidupkan semula Kementerian Pengajian Tinggi, bagi mengawasi IPT.

Cadangan itu dibuat susulan ‘pertelagahan pemikiran’ beliau dengan Pensyarah Program Sains Politik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Abdul Muein Abadi, sehingga menyebabkan Gerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), campur tangan.

“Alhamdulillah, komen saya itu (terhadap tulisan Abdul Muein) nampaknya telah menggoncangkan dunia akademik sektor awam. Tidak tahulah saya sama ada mereka terjaga daripada tidur atau lamunan.

“Dengan dikepalai oleh Gerakan Tenaga Akademik Malaysia (Gerak), mereka bangun menjawab, menyanggah dan mengutuk hujah ringkas saya itu.

“Imaginasi mereka dan penyokong mereka menjadi begitu subur dan sensasi sehingga membuat kesimpulan bahawa saya cuba mengawal dan menyekat kebebasan akademik,” katanya.

Tokoh wartawan negara itu berkata, beliau sedikit pun tidak berminat menyekat kebebasan sesiapa sahaja untuk menyuarakan pendapat, tetapi pihak berkenaan mesti berani memperkenalkan diri, kerana dalam dunia yang dipacu oleh media sosial sekarang terlalu ramai pondan, darai dan kembiri yang baling batu sembunyi tangan.

Kadir berkata, apa yang beliau lakukan sekadar memanfaatkan haknya sebagai wartawan dan anggota masyarakat Malaysia Baru untuk bersuara.

“Saya sekadar mempertikaikan motif dan tujuan tersirat pihak-pihak yang saya sebutkan itu sambil mempertahankan kerajaan daripada perbuatan putar-belit fakta dengan berselindung di sebalik kebebasan intelektual.

“Untuk apa saya mengawal dan menyekat kebebasan akademik tulen? Sebagai seorang yang rendah pendidikan akademik – setakat sijil kewartawanan saja – saya banyak belajar dan mendapat faedah daripada para cendekiawan tulen. Saya katakan tulen, bukan kangkung.

“Adakah semudah itu mereka menuduh saya cuba mengawal dan menyekat kebebasan akademik semata-mata dengan mempersoalkan tulisan seorang pensyarah? Adakah menara gading kita sudah menjadi begitu kurang keyakinan diri, defensif dan eksklusif sehingga tidak boleh dicuit barang sedikit pun?,” katanya semalam.


Katanya, ketika beliau Pengarang Kumpulan Berita Harian pada 1986 hingga 1988) akhbar Berita Harian menyediakan kolum mingguan – Ruangan Rabu – yang diwujudkan khas bagi menyiarkan tulisan cendekiawan universiti.

“Tetapi sekiranya reaksi Gerak dan sekutu mereka terhadap tulisan saya mencerminkan “mindset” kakitangan akademik institusi pengajian tinggi, khususnya IPTA, saya CADANGKAN agar kerajaan tubuhkan sebuah suruhanjaya bebas penambahbaikan pendidikan tinggi negara.

“Dalam konteks itu juga saya mohon kerajaan memikirkan kebaikan memecahkan Kementerian Pendidikan dengan menghidupkan semula Kementerian Pengajian Tinggi,” katanya.

Mengulas kenyataan Abdul Muein bahawa beliau ‘diarah untuk tidak lagi menulis mengenai sebarang isu politik yang sensitif’, Kadir berkata, kenyataan itu menunjukkan pensyarah berkenaan memang menulis mengenai politik, dan tindakan larangan itu adalah keputusan universiti.

“Saya tidak kata tidak boleh tulis isu politik. Yang saya timbulkan ialah saya nampak macam ada unsur konspirasi dalam rencana yang dia tulis dan disiarkan oleh portal politik Umno-Online.

“Kalau saya hendak mengawal dan menyekat kebebasan bersuara, tentulah saya tidak membuka ruang komen dalam blog ini dan menyiarkan komen yang membelasah saya dan kerajaan,” katanya.


Tiada ulasan: