Ahad, 14 Julai 2019

Jadual baharu KTM mulai 16 Julai

ainulillia 

 

Perkhidmatan Komuter Utara terkecuali daripada penjadualan baharu

BANGI – Mulai 16 Julai depan, perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu (KTM) akan beroperasi dengan jadual baharu.

Unit Komunikasi Korporat Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), dalam satu kenyataan, hari ini berkata, ia akan melibatkan perkhidmatan KTM Komuter di sektor Lembah Klang, Komuter Ekspres Seremban dan Skypark Link.

Manakala, perkhidmatan KTM Komuter Utara terkecuali daripada penjadualan baharu ini. 

KTMB berkata, perubahan jadual itu adalah ekoran daripada pelaksanaan projek menaik taraf sistem dan infrastruktur Landasan Berkembar Lembah Klang (KVDT) yang telah beralih ke fasa seterusnya.

“Dengan penjadualan baharu ini, perkhidmatan KTM Komuter bagi laluan antara Stesen Pulau Sebang dan Stesen Batu Caves, akan beroperasi secara terus dan para penumpang tidak perlu menggunakan perkhidmatan bas transit di antara Stesen Sentul dan Stesen KL Sentral serta Stesen LRT Sentul Timur.

“Perkhidmatan bas transit bagi laluan Stesen Segambut – Stesen KL Sentral, masih kekal sama, dengan kekerapan setiap satu jam, bermula jam 6.00 pagi hingga jam 11.00 malam,” katanya.

Selain itu, perkhidmatan tren bagi laluan dari Stesen Pulau Sebang ke Stesen Batu Caves ditambah sebanyak empat lagi daripada empat perkhidmatan sedia ada, menjadikan lapan perkhidmatan di sektor laluan itu.

Manakala, bagi perkhidmatan Komuter Ekspres Seremban, perkhidmatan tren di sebelah petang, mulai jam 5.52 petang, ke Stesen Seremban akan bermula dari Stesen Sentul (berbanding bermula hanya dari Stesen KL Sentral sahaja sebelum ini), dengan tambahan empat hentian di Stesen Sentul, Stesen Putra, Stesen Bank Negara dan Stesen Kuala Lumpur. 

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai perubahan jadual, orang ramai boleh melayari aman sesawang www.ktmb.com.my atau saluran media baharu rasmi KTMB di Facebook KTM Berhad, Instagram ktmbofficial, Twitter @ktm_berhad atau melalui Pusat Panggilan KTMB di 03-22661200.


Tiada ulasan: