Jumaat, 12 Julai 2019

Imigresen sahkan pelajar PhD warga Nigeria mati dalam tahanan

MALAYSIAKINI

   

Seorang pelajar ijazah kedoktoran warga Nigeria di universiti swasta tempatan mati ketika dalam tahanan Imigresen, 9 Julai lalu.

Ketua Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia Khairul Dzaimee Daud mengesahkan kejadian itu yang pada mulanya dibangkitkan di media sosial oleh pelajar warga Nigeria lain di sini.

Dalam kenyataan hari ini, Khairul Dzaimee berkata lelaki itu ditahan ketika serbuan pihaknya di Desa Aman Puri, Kepong, pada malam 4 Julai lalu, susulan aduan yang mendakwa kebanjiran warga Afrika di sana mengganggu penduduk setempat.

Beliau berkata, ketika itu sekumpulan warga Afrika di beberapa kedai dan sekitar aras bawah blok pangsapuri bertindak melarikan diri dan tidak memberi kerjasama ketika pemeriksaan pegawai operasi.

"Subjek juga telah melarikan diri namun berjaya ditahan, dia kemudian mengemukakan pasport dan semakan mendapati dia memilik pas pelajar yang masih berlaku (sah).

"Tindakannya melarikan diri menimbulkan keraguan terhadap ketulenan pas pelajar," katanya, dan berkata lelaki itu dikenakan tahanan selama 14 hari untuk siasatan lanjut.

Lelaki itu, katanya lagi, ditahan di Depot Imigresen Bukit Jalil bersama 20 orang lain yang ditahan keesokannya, dan dilayan secara berhemah dan mengikut prosedur operasi standard (SOP).

Katanya, kira-kira pukul 12.05 tengah malam 9 Julai, pegawai bertugas dimaklumkan tahanan lain bahawa lelaki itu diserang sawan ketika tidur.

"Tindakan pemeriksaan dan rawatan serta-merta diambil Unit Rawatan Khas dan telah menghubungi Hospital Universiti Kebangsaan malaysia (HUKM).

"Ambulans HUKM tiba pada pukul 12.30 malam dan terus melakukan pemeriksaan dan bantuan, namun subjek disahkan meninggal dunia," katanya dan memaklumkan laporan polis dibuat susulan kejadian itu.

"Pada masa ini pihak Imigresen masih menunggu laporan penuh kesihatan subjek dan laporan penuh bedah siasat untuk mengetahui punca kematian," katanya lagi.

Terdahulu, Limkokwing Institute of Creative Technology mengumumkan kematian salah seorang pelajarnya menerusi Twitter.

"Dengan penuh kesal kami memaklumkan kematian Orhions Ewansiha Thomas. Melanjutkan pengajian kedoktoran dalam Pengurusan, beliau adalah anak muda yang penuh insipirasi.

"Kami semua di Universiti Limkokwing ingin menyuarakan ucapan ikhlas kasih sayang dan sokongan kepada semua yang terkesan," katanya.

Difahamkan pentadbiran universiti telah mengeluarkan notis untuk membatalkan semua kelas hari ini susulan satu himpunan yang dijangka akan diadakan pelajar di kampus.


Tiada ulasan: