Tun Abdul Hamid Mohamad
Jangan pula Wan Ji masuk penjara kerana hina Sultan dan ketua pemuda parti komponen PH masuk penjara kerana hina mahkamah
TIBA-TIBA
Wan Ji Wan Hussin (Wan Ji) menarik perhatian ramai apabila Datuk Seri
Anwar Ibrahim (DS Anwar) berkata hukuman Mahkamah Tinggi Shah Alam
terhadapnya terlalu keras dan “sesuatu yang malang” (i).
Ia diikuti
oleh kenyataan yang ditandatangani oleh Ketua Pemuda Bersatu (seorang
Menteri), DAP, PKR dan Amanah yang, antara lain, menyeru supaya beliau
dilepaskan (released).
Badan-badan
hak asasi manusia, NGO-NGO dan individu-individu juga turut mengecam
hukuman tersebut sebagai terlalu berat, menuntut Akta Hasutan 1948 dimansuhkan
dan menuntut Peguam Negara, lebih tepat, Pendakwa Raya (PR), memberi
penjelasan mengapa PR merayu terhadap hukuman Mahkamah Sesyen.
Daripada
apa yang dilaporkan oleh media massa, yang diketahui ialah: Wan Ji,
seorang pendakwah bebas, telah dihukum penjara satu tahun kerana
menghina Sultan Selangor di bawah Akta Hasutan 1948.
Siapa di
antara mereka yang membuat komen atau tuntutan itu membaca penghakiman
Hakim Mahkamah Sesyen yang membicarakan kes itu? Mungkin seorang pun
tidak.
Siapa di antara mereka yang tahu kata-kata yang ditulis oleh Wan Ji yang menjadi asas pertuduhan itu? Mungkin tidak ada.
Siapa di antara mereka yang tahu peruntukan sebenar seksyen yang di bawahnya beliau dituduh, dan sejarah seksyen itu?
Sebelum
kita berkata hukuman itu terlalu berat, kita perlu tahu fakta kes itu,
seksyen di bawahnya Wan Ji dituduh; hujah-hujah yang dikemukakan oleh
kedua belah pihak; alasan-alasan yang diberi oleh hakim yang
membicarakan kes itu; hakikat bahawa, dalam kes itu, PR merayu supaya
hukuman Hakim Mahkamah Sesyen itu ditambah kerana hukuman penjara
sembilan bulan yang dijatuhkannya itu terlalu ringan pada pandangan PR,
dan alasan-alasan yang diberi oleh Hakim Mahkamah Tinggi dalam
mengesahkan sabitan itu dan menambah hukuman penjara kepada satu tahun.
Mengatakan
bahawa hukuman itu terlalu keras atau terlalu berat hanya setelah
mendengar hukumam satu tahun kerana menghina Sultan bukanlah cara yang
betul untuk menilai sesuatu hukuman.
Dalam
rencana ini, saya tidak akan membincang sama ada pensabitan Wan Ji itu
betul atau tidak dan sama ada hukuman itu sah atau tidak dan patut atau
tidak, kerana rayuan kes itu ke Mahkamah Rayuan (MR) masih pending
(belum selesai). Ini adalah untuk mengelak daripada mengganggu
perbicaraan kes tersebut yang mungkin menjadi satu kesalahan menghina mahkamah.
Tuntutan
supaya Wan Ji dibebaskan munkin melanggar prinsip itu. Dua peringkat
mahkamah telah mendapati beliau bersalah dan hukuman telah ditambah. Itu
adalah perintah mahkamah yang berkuat kuasa pada masa ini. Jabatan
Penjara tidak boleh ‘melepaskannya’.
PR tidak
boleh menggunakan Seksyen 254 Kanun Acara Jenayah untuk tidak meneruskan
pendakwaan seperti yang dilakukannya dalam kes Lim Guan Eng kerana
pendakwaan telah selesai dan mahkamah telah memberi penghakiman.
Jika PR
memaklumkan mahkamah beliau tidak akan menentang rayuan Wan Ji apabila
rayuan itu didengar oleh MR pun, penghakiman Mahkamah Sesyen dan
Mahkamah Tinggi, kekal.
Adalah
tidak wajar bagi PR untuk berbuat demikian. Yang membawa Wan Ji ke
mahkamah dan mendakwanya adalah PR; yang merayu ke Mahkamah Tinggi supaya
hukuman ditambah adalah PR; bagaimana apabila sampai di MR, PR hendak
membuat pusingan U dan berkata PR tidak menentangnya?
MR tidak
boleh membenarkan rayuan semata-mata kerana PR tidak menentang. MR juga
tidak boleh membenarkan rayuan semata-mata atas hujah-hujah perayu.
Hanya jika MR bersetuju bahawa sabitan itu tidak betul di atas fakta
atau mengikut undang-undang, barulah MR boleh mengetepikan penghakiman
dan hukuman itu. Perlu diingat, ini adalah kes jenayah, bukan kes sivil.
Nampaknya, Tommy Thomas, PR, menyedari hal ini apabila beliau berkata dalam kenyataannya bertarikh 12 Julai 2019:
“Thomas
berkata Jabatan Peguam Negara sedang mengkaji pilihan-pilihan yang
terbuka kepadanya berhubung dengan rayuan Wan Ji, tetapi menyatakan
bahawa berdasarkan sabitannya oleh dua mahkamah, “margin budi bicara di
pejabatnya sangat terhad“. ii (The Star Online 12 07 2019) (Terjemahan saya).
Hanya satu jalan yang tinggal iaitu bagi Wan Ji memohon pengampunan kepada DYMM Sultan Selangor yang begitu teruk dihinanya itu. Permohonan itu perlu dibuat di Selangor kerana beliau disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Tinggi di negeri Selangor. Tidak malukah beliau untuk berbuat demikian? Mungkinkah Lembaga Pengampunan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, mengampunnya?
Hanya satu jalan yang tinggal iaitu bagi Wan Ji memohon pengampunan kepada DYMM Sultan Selangor yang begitu teruk dihinanya itu. Permohonan itu perlu dibuat di Selangor kerana beliau disabitkan dan dihukum oleh Mahkamah Tinggi di negeri Selangor. Tidak malukah beliau untuk berbuat demikian? Mungkinkah Lembaga Pengampunan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Sultan Selangor, mengampunnya?
Jabatan
Penjara tidak ada kuasa melepaskan Wan Ji kerana ia tertakluk kepada
perintah mahkamah. Menuntut PR melepaskan Wan Ji, di peringkat ini, PR
sudah tidak ada kuasa lagi. Menuntut MR melepaskannya mungkin menjadi
menghina mahkamah. Jangan pula Wan Ji masuk penjara kerana menghina
Sultan dan ketua-ketua pemuda parti-parti komponen PH masuk penjara kerana menghina mahkamah. Mereka patut menyedari semua ini sebelum mengeluarkan kenyataan sebegitu.
Perlu
disebut bahawa menuntut kerajaan PH menunai janjinya dan memansuhkan
Akta Hasutan tidak salah. Tetapi, ia hanya melibatkan kes-kes di masa
hadapan. Sama ada akta itu patut dimansuhkan atau tidak adalah suatu
perkara lain dan saya tidak akan membincangnya di sini. Sesiapa yang
ingin tahu, sila layari laman-laman web saya dan membaca ucapan-ucapan saya mengenainya yang disampaikan dalam tahun 2014.
Menuntut
PR memberi penjelasan mengapa beliau merayu terhadap hukuman penjara
sembilan bulan yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen yang menyebabkan ia
ditambah menjadi satu tahun, adalah suatu perkara yang tidak pernah
berlaku semenjak Merdeka, di bawah pemerintahan BN.
Bezanya,
sepanjang masa itu, Peguam Negara/Pendakwa Raya adalah dilantik daripada
pegawai Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan, bukan peguam swasta.
Tommy
Thomas adalah calon DAP dan pilihan PH. Ahli-ahli parti-parti komponen
PH fikir bahawa beliau terhutang budi kepada PH dan mesti menurut
telunjuk PH. Maka, mereka berhak menuntut beliau memberi penjelasan
mengapa beliau telah berbuat sesuatu yang berlawanan dengan dasar dan
janji PH.
Tommy Thomas menjawab:
“…
beliau tidak mengetahui kes itu…sehingga Mahkamah Tinggi mengekalkan
keputusan untuk mensabitkannya dan menambah hukumannya pada 9 Julai.
Thomas memberikan urutan peristiwa kes itu yang menunjukkan bahawa Wan
Ji telah dituduh dan disabitkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14.
“Tiada
representasi bertulis yang pernah dibuat oleh tertuduh atau peguamnya
kepada saya, dan saya sendiri tidak menyedari hal ini sehingga selepas
keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 Julai menjadi pengetahuan umum.
“Ini
tidak menghairankan kerana pada setiap hari bekerja, kerajaan
Persekutuan dan kerajaan-kerajaan 13 buah negeri terlibat, secara
langsung, dalam beratus-ratus kes jenayah dan sivil….”. iii. (The Star Online 12 07 2019) (Terjemahan saya).
Beliau
nampak defensif dalam jawapannya itu. Seorang Peguam Negara/Pendakwa
Raya yang dilantik daripada Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan
mungkin tidak menjawabnya, atau, jika menjawab pun, mungkin hanya
berkata “Itu budi bicara saya. Alasan saya ialah…”. Tetapi, Tommy Thomas
tidak boleh berkata demikian. Beliau tahu kepada siapa beliau terhutang budi.
Bagaimanapun,
beliau tidak boleh lari daripada tanggungjawabnya, kerana apa yang
dilakukan oleh timbalan-timbalannya adalah dilakukan bagi pihaknya.
Beliau juga menjelaskan mengenai penggunaan Akta Hasutan 1948.
“Beliau
berkata Akta itu adalah antara manifesto Pakatan Harapan yang
menyatakan ia akan dimansuhkan, tetapi Kabinet tidak memaklumkan kepada
Jabatan Peguam Negara apa-apa keputusan untuk memansuhkan atau
memindanya.
“Di
bawah sistem pemerintahan kita, Kabinetlah yang memutuskan bagi pihak
badan eksekutif untuk membuat keputusan memansuhkan atau meminda
undang-undang untuk dibawa ke Parlimen, dengan Jabatan Peguam Negara
membantu dalam merangka undang-undang baru,” katanya.
Beliau juga berkata Kabinet tidak memberi sebarang arahan untuk berhenti bergantung kepada Akta Hasutan.
“Arahan
seperti itu, walau bagaimana pun tidak sah kerana ia akan menyentuh
budi bicara mengikut Perlembagaan yang terletak hanya kepada Peguam
Negara (PR – ditambah) untuk memutuskan perkara-perkara pendakwaan bagi
pihak negara,” katanya.
Thomas
menambah bahawa apabila memegang jawatan pada Jun 2018, beliau
memutuskan untuk menggunakan Akta Hasutan hanya sebagai langkah
terakhir.
“Oleh
sebab Akta Hasutan masih menjadi undang-undang, ia tidak boleh
diketepikannya sepenuhnya. Itu hanya berlaku jika Parlimen
memansuhkannya.
…….
Thomas
menambah bahawa jika pendakwaan terpaksa dilakukan, beliau akan
menggunakan Kanun Keseksaan, tetapi jika tidak ada alternatif mengikut
undang-undang, maka dalam kes yang sesuai, beliau “tidak boleh menolak
penggunaan Akta Hasutan, sehingga ia dimansuhkan“. iv (The Star Online 12 07 2019) (Terjemahan saya).
Apa yang dikatakannya itu adalah betul. Pihak-pihak yang membuat desakan perlulah mengambil perhatian.
Siapakah Wan Ji? Saya menggoogle dan ini adalah hasilnya:
Wan Ji
dilahirkan di Rong Chenok, Pasir Mas, Kelantan dalam tahun 1982 yang
bererti beliau berumur 37 tahun sekarang. Beliau mendapat pendidikan
awal di Institut Pendidikan al-Balaghul Mubin (Pasir Mas Kelantan-
tahfiz al-Quran) sebelum melanjutkan pengajian di Pondok Lubuk Tapah,
Kelantan; Jamia Farooqia Karachi, Pakistan (tidak diketahui dalam bidang
apa dan hingga ke peringkat mana); Universiti Al-Azhar, Mesir (Syariah
Islammiyah) dan Universiti Malaysia Kelantan (Kesusasteraan, ada yang
mengatakan maqasid shariah).
Beliau
pernah menjadi ahli Jawatankuasa Dewan Ulama PAS Selangor, Ketua Exco
Agama Pemuda PKR, Penyelidik di Anwar Ibrahim Research Institute (AIRI),
Pegawai Penerangan dan Penasihat Agama di Pejabat Ketua Menteri Pulau
Pinang.
Beliau mengarang beberapa buah buku, antaranya, bertajuk Andai
Rasulullah s.a.w. Bersama Kita; Kezuhudan Umar Abdul Aziz,
Kesederhanaan Nik Abdul Aziz: Dua Tokoh Unik di Dua Zaman; Maqasid
Syariah; Ustaz, Aku Tak Bangang!; Ustaz, Jangan Kasar Sangat!.
Beliau
dikatakan banyak mengkritik ulama-ulama Malaysia. Ketika dalam PAS,
beliau pernah memanggil Datuk Harun Din, Ketua Dewan Ulama PAS ‘ulama
kepala lutut’. Beliau menyifatkan PAS era Datuk Seri Haji Abdul Hadi
Awang sebagai parti lebai. Beliau bersetuju kalimah Allah digunakan oleh
gereja Roman Katholik dalam upacara agama bahasa Melayu dan dalam bible
bahasa Melayu, dan lain-lain.
Dari sini,
dapat diperhatikan bahawa dalam umur yang begitu muda beliau telah
mengkritik ulama-ulama Malaysia dengan bahasa yang begitu kasar,
seolah-olah beliau sahajalah yang betul. Dua tajuk bukunya yang terakhir
disebut itu menampakkan reaksi pendengar ceramahnya, kepadanya.
Adalah
juga menghairankan bagaimana beliau boleh berpindah dari PAS ke PKR dan
menjadi Pegawai Penerangan dan Penasihat Agama di Pejabat Ketua Menteri
Pulau Pinang. Di sebaliknya timbul soalan mengapa beliau dipilih oleh
Lim Guan Eng. Adakah pendirian beliau dalam isu-isu yang melibatkan
Islam menyebabkan Lim Guan Eng berpendapat beliau boleh diperalatkan
untuk kepentingan polituk DAP? Nampaknya, itulah yang lebih
berkemungkinan.
Pembaca,
dan, saya percaya, DS Anwar, ketua-ketua pemuda parti-parti komponen PH,
pemimpin-pemimpin NGO dan badan hak asasi manusia dan individu-individu
yang kuat membela Wan Ji semuanya tidak membaca pun apa yang ditulisnya
mengenai DYMM Sultan Selangor, kerana ia tidak disiarkan oleh media
massa.
Apa yang
disebut hanyalah beliau mengeluarkan kata-kata yang menghina DYMM Sultan
Selangor. Betapa seriusnya kata-kata itu tidak dirasai.
Maka, saya memperturunkannya daripada penghakiman Hakim Mahkamah Sesyen:
“1) Jenis
syaitan tak baca hadis nabi kata ‘sesungguhnya org yg ada hak, kena bg
ruang bersuara’. Bahana bodoh agama tp nak jadi ketua agama.. Sultan
Selangor Sultan Shrafuddin Idris Shah bertitah mengingatkan penuntut
Universiti Putra Malaysia (UPM) supaya tidak terpengaruh dengan tuntutan
kebebasan bersuara yang diperjuangkan segolongan pihak yang hanya
mementingkan ideologi politik.
2) Sultan
sel tu tak payah nak ingatkan student UPM..Dia sendiri tu kena pg ngaji
agama lagi…Kena ajar sultan sel, arak tu haram. Ketua agama tak layak
ada hard rock café…Perasan bagus, tp bodoh agama..
3) Buang je sultan2 ni…Perabis duit rakyat…
4) Sultan
sel mengadakan kempen projek pembodohan diUniversiti…Masuk Universiti
untuk jadi bijak, si syaitan ni buat projek pembodohan.. Bila org bodoh,
dia akan berkuasa…Firaun moden.
5) Nak kaya dlm keadaaan bodoh adalah jadi sultan.
6) Quran
kata, ‘(firaun) merendah-rendahkan (akal) mereka (rakyat mesir), lalu
mereka taat kepadanya’ itu di mesir. Kalau di malaysia, yg buat kerja ni
adalah UMNO dan Sultan..”
Kita ketepikan undang-undang buat sementara.
Patutkah
seorang manusia berkata demikian kepada seorang manusia lain? Hendak
dikatakan tidak bertamadun, saya percaya, orang asli pun tidak berkata
demikian kepada Tok Batin mereka. Hendak dikatakan tidak berpelajaran,
beliau belajar di tiga buah universiti.
Hendak
dikatakan tidak tahu hukum dan ilmu agama, beliau seorang hafiz, graduan
syariah dan maqasid syariah, penceramah agama, penulis buku-buku agama,
penasihat agama dan lain-lain.
Hendak
dikatakan beliau tidak tahu adab pun tidak patut: dalam al-Quran yang
dihafalnya sahaja pun sudah cukup banyak pesanan mengenainya. Hendak
dikatakan itulah yang diajar oleh bapanya juga tidak munasabah. Yang jelas ialah beliau tidak beradab.
Anehnya,
orang yang membela beliau hanya menunjukkan simpati terhadap beliau.
Sepatah pun tidak disebut mengenai orang yang dihinanya.
Pejuang-pejuang
hak asasi manusia pula lebih mementingkan hak orang yang menghina,
bukan hak orang yang dihina, seolah-olah manusia mempunyai hak untuk
menghina, tetapi tidak ada hak untuk tidak dihina.
Itukah kebebasan bersuara yang mereka perjuangkan?
Rujukan:
i. Malaysiakini 10 07 2019
ii.
‘Thomas said the AGC was studying the options open to it with respect to
Wan Ji’s appeal, but noted that in view of his conviction by two
courts, “the margin of discretion in his office is substantially
limited”.
iii …. he
was not aware of the case …until the High Court upheld the decision to
convict him and enhanced his sentence on July 9.
Thomas
provided a sequence of events for the case, which showed that Wan Ji was
charged and convicted prior to the 14th General Election.
……………….
……………….
“No
written representations were ever made by the accused or his lawyer to
me, and I was not personally aware of this matter until after the
decisions of the High Court on July 9 became publicly known.
“This is
hardly surprising because on any given working day, the Federal and 13
state governments are involved, literally, in hundreds of criminal and
civil cases….”
iv. He
said the Act is among those that the Pakatan Harapan manifesto had
stated it would repeal, but said that the Cabinet had not informed the
AGC of any decision to repeal or amend it.
“Under our
system of government, it is the Cabinet that decides on behalf of the
executive branch to enact, repeal or amend laws for presentation to
Parliament, with chambers assisting in the drafting of new laws,” he
said.
He also said Cabinet had not sent any instructions to stop relying on the Sedition Act.
“Such an
instruction would not, in any event, be lawful because it would offend
the discretionary power under the Constitution vested solely in the
office of the Attorney General to decide on prosecutorial matters on
behalf of the state,” he said.
Thomas added that upon assuming office in June 2018, he decided to only turn to the Sedition Act as a measure of last resort.
“Because the Sedition Act is still a law, it cannot be totally disregarded. That can only occur if Parliament repeals it.
……….
……….
Thomas
added that if a prosecution has to occur, it will rely on the Penal
Code, but if there where there no alternatives under the laws, then in
appropriate cases, it “cannot rule out applying the Sedition Act, until
it is repealed”.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan