Isnin, 15 Julai 2019

Hari ke-37: Najib tak lapor perbelanjaan RM3.2 juta guna kad kreditnya - saksi


   
LANGSUNG | Perbicaraan bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dakwaan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd masuk hari ke-37 di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Malaysiakini membawakan laporan langsung perbicaraan.
Iklan

Ringkasan kes Najib berhubung dana SRC RM42 juta

Najib Razak berdepan 7 tuduhan berkaitan dana RM42 juta melibatkan SRC International, bekas anak syarikat 1MDB


12.51 tengah hari: Naib Presiden AmBank Yeoh Eng Leong berkata Najib Razak tidak memfailkan laporan berhubung lebih RM3.2 juta yang dibelanjakan menggunakan dua kad kreditnya antara Ogos 2014 hingga Januari 2015.

Saksi ke-47 itu berkata demikian ketika pemeriksaan balas oleh DPP Budiman Lutfi Mohamed.

Budiman: Najib ada buat laporan tentang perbelanjaan itu?
Yeoh: Kami tiada rekod tentang pertikaian (laporan oleh Najib).

Yeoh bertugas dalam bahagian penipuan perbankan runcit AmBank.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian menangguhkan perbicaraan untuk rehat tengah hari sehingga pukul 2.30 petang.



Lebih RM3.2j dibelanja dalam masa 6 bulan guna kad kredit Najib

12.30 tengah hari: Dua kad kredit bekas perdana menteri Najib Razak digunakan untuk perbelanjaan lebih RM3.2 juta dalam masa enam bulan, iaitu antara Ogos 2014 hingga Januari 2015.

Naib Presiden AmBank Yeoh Eng Leong, yang bertugas dalam bahagian penipuan perbankan runcit, berkata demikian ketika pemeriksaan utama oleh DPP Budiman Lutfi Mohamed.

Saksi ke-47 itu mendedahkan perkara itu melalui penyata Mac 2011 hingga April 2015 bagi kad Mastercard Platinum dan Visa Platinum yang didaftar menggunakan nama Najib.

Yeoh secara teliti menyatakan Mastercard Platinum digunakan untuk lapan transaksi berjumlah lebih RM2.86 juta di sebuah kedai di Italy bernama De Grisogono pada 8 Ogos 2014.

De Grisogono adalah jenama jam tangan mewah dan berlian Switzerland dengan rangkaian di pelbagai negara.

Yeoh berkata, kad sama turut digunakan untuk penginapan di Shangri-La Hotel di Bangkok, Thailand, dengan jumlah RM127,017.46.

Katanya pada 22 Disember 2014, kad Visa Platinum digunakan antara lain untuk membelanjakan RM466,330.11 di sebuah kedai jenama Chanel di Honolulu, Hawaii.

Dia juga berkata hutang kad kredit dibayar dengan wang yang dipindah daripada akaun AmBank dengan nombor berakhir 880.

Terdahulu, mahkamah diberitahu akaun itu didaftarkan di bawah nama Najib.



‘Jutaan ringgit masuk ke akaun Najib dari syarikat antarabangsa pada 2014’

12.15 pagi: Had kredit dua kad kredit Najib yang digabungnya - Mastercard Platinum dan Visa Platinum - adalah sebanyak RM3 juta.

Naib Presiden AmBank Yeoh Eng Leong, saksi ke-47, mendedahkan perkara itu ketika merujuk kepada penyata kad-kad itu dari Mac 2011 hingga April 2015.

Pengurus Unit pemindahan wang Rentas Wedani Senen pula dalam sesi soal balas berkata hampir RM50 juta dimasukkan ke dalam akaun bank di Ambank.

Wedani berkata dana itu dipindahkan daripada beberapa akaun bank luar negara kepada Blackrock Commodities (Global) Limited dan Vista Equity International Partners.

Mengikut Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat, kedua-dua syarikat itu dimiliki oleh 'Eric Tan', yang kemudian dikenal pasti sebagai sekutu Jho Low.

Kedua-dua syarikat itu bagaimanapun tidak mempunyai kaitan dengan syarikat pengurusan pelaburan antarabangsa BlackRock Inc.

Menurut Wedani, RM4.093 juta (GBP750,000) dimasukkan ke 880 akaun pada 23 Jun 2014.

Perbezaan masa wang dimasukkan oleh Blackrock Commodities dan waktu ia dikreditkan ke akaun Najib berlaku disebabkan proses bank yang diperlukan bagi pemindahan mata wang asing.

Wedani berkata, pada 21 Oktober 2014, Visa Equity yang berpangkalan di Seychelles memindahkan GBP5.75 ke akaun Najib.

Ia dikreditkan ke akaun yang berakhir dengan nombor 880 pada 23 Oktober 2014.

Jumlahnya dalam ringgit sebanyak RM30.032 million.

Empat transaksi lain seperti berikut:
  • Nov 24,2014 - RM3,624,473.70
  • Nov 26, 2014 - RM11,567.57
  • Dec 10, 2014 - RM5,360,065.00
  • Dec 19, 2014 - RM6,809,129.43 


11.15 pagi: Perbicaraan bersambung dengan saksi pendakwaan, Pengurus Unit Pusat Kiriman Rentas AmBank Wedani Senen dipanggil ke kandang saksi.



Pemeriksaan balas penganalisis Bank Negara selesai

10.50 pagi: Sesi pemeriksaan balas pasukan pembelaan dengan penganalisis forensik digital Bank Negara Shuzairizman Shuib selesai.

Bagaimanapun ketua peguam Muhammad Shafee Abdullah meminta kebenaran mahkamah untuk membenarkan saksi ke-46 itu dipanggil semula jika diperlukan kemudian, kerena mereka menjangka mempunyai soalan lanjut untuknya selepas pengurus perhubungan AmBank memberi keterangan.

DPP V Sithambaran kemudian memberitahu mahkamah memandangkan pemeriksaan balas telah selesai, pasukan pembelaan perlu memberikan sebab yang memuaskan jika ingin berbuat demikian nanti.

Sithambaran kemudian meneruskan pemeriksaan semula dengan beberapa soalan kepada Shuzairizman berkenaan bahan bukti yang diserahkan kepada mahkamah.

Saksi seterusnya dijangka akan dipanggil selepas mahkamah berhenti rehat sebentar.



Saksi sahkan perbualan pegawai AmBank, 1MDB tentang akaun Najib

10.10 pagi: Pegawai Bank Negara Shuzairizman Shuib mengesahkan siri perbualan antara pengurus perhubungan AmBank Joanna Yu dan pengarah kewangan 1MDB Terrence Geh pada 2015.

Antara perbualan tersebut berkenaan akaun yang berakhir dengan nombor 880 yang telah disahkan dalam perbicaraan sebelum ini sebagai akaun peribadi Najib.

Ketika pemeriksaan balas dengan peguam Harvinderjit Singh, penganalisis forensik digital itu memberi keterangan berkenaan laporan data yang diambil daripada telefon BlackBerry Yu yang dirampas ketika penggeledahan pada Julai 2015.

Shuzairizman berkata, Yu dan Geh berbual menerusi BlackBerry Messenger antara pukul 2.32 pagi hingga 8.33 pagi pada 5 Februari 2015, antaranya berkenaan akaun AmIslamic Bank yang berakhir dengan nombor 880.

Dalam perbualan itu, Yu turut menyebut seorang individu yang dirujuk dengan nama 'Nik', ketika memberitahu Geh bahawa dia "cuba mendapatkan Nik untuk emelkan permintaan tetapi dia tiada".
Dipercayai dia merujuk kepada bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.
Shuzairizman Shuib


9.40 pagi: Timbalan Pendakwa Raya (DPP) V Sithambaran membantah barisan soalan yang diajukan pihak pendakwaan dalam pemeriksaan balas sejak perbicaraan bermula.

Sithambaran merujuk soalan peguam Harvinderjit Singh terhadap saksi ke-46 Shuzairizman Shuib, penganalisis bahagian forensik digital di Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara.

Beliau menyifatkannya sebagai "fishing expedition", iaitu soalan untuk mendapatkan maklumat bagi perbicaraan kemudian dan tidak berpandukan matlamat yang dinyatakan.

"Mereka (pembelaan) perlu nyatakan apa yang mereka mahu (dalam pemeriksaan balas). Ini fishing expedition," katanya kepada Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Harvinderjit menghabiskan setengah jam untuk menyoal Shuzairizman berkenaan dakwaan pelanggaran prosedur operasi piawai (SOP) olehnya dalam merekodkan pengambilan maklumat digital daripada telefon yang dirampas daripada kakitangan AmBank Raja Chulan.

Nazlan kemudian mengarahkan Harvinderjit mengehadkan soalannya kepada sepuluh minit.



9.03 pagi: Tertuduh Najib Razak masuk ke mahkamah dan duduk di barisan depan galeri awam.

Turut dilihat ialah ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah dan peguam lain, selain Peguam Negara Tommy Thomas dan pasukan pendakwaan.

Beberapa minit kemudian, Najib masuk ke kandang tertuduh dan perbicaraan pun bermula.



Perbicaraan kes bekas perdana menteri Najib Razak berkenaan dana RM42 juta SRC International masuk hari ke-37 dengan pemeriksaan balas saksi ke-46 Shuzairizman Shuib.

Pasukan pembelaan dijangka memberi tumpuan kepada laporan yang disediakan Shuzairizman, penganalisis bahagian forensik digital di Jabatan Perisikan dan Penguatkuasaan Kewangan Bank Negara, berkenaan data yang diambil daripada peralatan digital yang dirampas ketika penggeledahan di AmBank Jalan Raja Chulan pada 6 Julai 2015.

Antara yang dirampas ialah telefon BlackBerry milik pengurus perhubungan AmBank pada masa itu, Joanna Yu.

Pasukan pendakwaan pula mungkin memberi kemas kini kepada mahkamah berkenaan dakwaan ketua pembelaan Muhammad Shafee Abdullah bahawa Najib dinafikan akses terhadap maklumat berkenaan akaunnya sendiri di AmBank.
 
 
 

Tiada ulasan: