Rabu, 17 Julai 2019

Guan Eng pembohong

ainulillia  

 

Dakwaan menteri kewangan mesti dibahas di Dewan Rakyat

BANGI – Pendedahan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkaitan hasil kutipan cukai barang dan perkhidmatan (GST) pada tahun lalu adalah satu pembohongan kepada rakyat, kata Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari.

Beliau berkata demikian susulan pengesahan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) semalam bahawa wang sebanyak RM19.4 bilion hasil kutipan GST tidak hilang atau dirompak seperti dakwaan Guan Eng. 

Pengerusi PAC, Datuk Dr Noraini Ahmad memberitahu, hasil GST yang tidak dipindahkan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST digunakan bagi tujuan pembiayaan perbelanjaan pengurusan dan pembangunan.

Mengulas perkara itu, Ahmad Fadhli berkata, laporan PAC jelas mendedahkan bahawa segala dakwaan Guan Eng hanya satu pembohongan. 

“Menteri Kewangan kata dirompak. Bagi kita Menteri Kewangan pada hari ini adalah seorang pembohong dan tidak layak menjadi Menteri Kewangan.

“Ditambah pula dengan kenyataan-kenyataan lain bila menyebut bahawa Kelantan tidak dapat membayar gaji, Kelantan negeri yang mundur dan sebagainya juga satu pembohongan,” katanya.

Dilaporkan, majoriti Ahli Parlimen pembangkang hari ini meninggalkan Dewan Rakyat sebagai membantah keputusan speaker tidak merujuk Guan Eng ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan atas isu pembayaran balik GST.

Mereka meluahkan perasaan tidak berpuas hati dengan tindakan Speaker Dewan Rakyat, Mohamad Ariff Md Yusof yang memberi alasan tiada unsur prima facie dalam dakwaan Guan Eng terhadap kerajaan terdahulu menyalahgunakan wang bagi tujuan pembayaran balik GST.

Mereka dilaporkan mahu isu berkenaan dibincangkan dalam Dewan Rakyat.

“Hari ini pun, kita tidak menyatakan bahawa Menteri Kewangan ini bersalah. Apa yang kita mahu supaya ia dibincangkan dan dibahaskan di Dewan Rakyat.

“Jadi semua Ahli Parlimen boleh bentangkan hujah masing-masing. Apakah mereka menyokong atau tidak menyokong kenyataan bahawa mereka telah berbohong di dalam dewan,” kata Ahmad Fadhli.


Tiada ulasan: