Isnin, 15 Julai 2019

Dikaitkan dengan skandal 1MDB, Apandi saman Lim RM10 juta

MALAYSIAKINI

   

Bekas peguam negara Mohamed Apandi Ali memfailkan saman terhadap Lim Kit Siang berhubung kenyataan penasihat DAP itu tentang peranannya dalam skandal 1MDB.

Apandi antara lain menuntut ganti rugi am berjumlah RM10 juta daripada Lim.

Menurut pernyataan tuntutan yang difailkan, beliau berkata kenyataan Lim menyifatkannya sebagai:
  • Terlibat di dalam kegiatan jenayah terutama di dalam skandal kewangan 1MDB.
  • Tidak mempunyai sebarang integriti dan tidak bermoral.
  • Tidak mempunyai sifat etika bertanggungjawab professional serta etika lain yang penting bagi menyandang posisi sebagai peguam negara.
  • Telah melakukan penyalahgunaan kuasa dan/atau peninggalan dan/atau pengabaian tugas serta tanggungjawab dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab sebagai peguam negara.
  • Mengamalkan dwistandard dalam menjalankan dan/atau melaksanakan tugas dan tanggungjawab terutama dalam kedudukkannya sebagai peguam negara dan secara amnya sebagai seorang individu.
  • Tidak kompeten, tidak mempunyai pengetahuan serta kemahiran yang diperlukan bagi memegang posisi sebagai peguam negara.
Dalam merujuk kenyataan Lim, yang disiarkan dalam ruangan "MP Speaks" di Malaysiakini dengan tajuk Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity, Apandi juga menyifatkan laman portal itu sebagai berpengaruh dengan jumlah pembaca yang besar.

Dalam pernyataan tuntutan yang difailkan oleh Saibullah MV Nathan & Co, plaintif (Apandi) berkata (memplidkan) kenyataan defendan (Lim) "tidak benar, pembohongan, fitnah bertulis (libel) yang serius" terhadapnya.

Apandi juga berkata penulisan dan/atau penerbitan serta penyiaran artikel tersebut adalah:
  • Tidak benar sama sekali, menyakitkan hati, tidak benar, tidak tepat, mengelirukan dan tidak patut sama sekali.
  • Amat cuai, melulu, sengaja dan berniat jahat dan ditulis serta disiarkan dengan niat untuk menjatuhkan imej serta maruah plaintif dan mendedahkan plaintif kepada kebencian, penghinaan, cercaan dan ejekan di kalangan masyarakat Malaysia secara amnya.
  • Tidak benar, berniat jahat dan mala fide, berniat menjatuhkan nama baik, merupakan penyelewengan fakta yang mencadangkan kesalahan moral dan undang-undang di pihak plaintif dan secara prinsipnya dilakukan oleh defenden bagi tujuan memburukkan nama baik plaintif demi mendapatkan publisiti murahan dan/atau atau sensasi serta lain-lain tujuan buruk terhadap plaintif.
  • Direncanakan dan/atau dilakukan untuk merosakkan, mengada-adakan cerita, memfitnah dan menyebabkan kerosakan kepada nama baik dan perwatakan serta karakter baik plaintif.
Apandi berkata susulan penerbitan kenyataan Lim, ramai yang tahu tentang artikel itu dan ia dikongsi ramai melalui media sosial dan aplikasi Whatsapp.

Dia berkata Lim ialah pihak yang bertanggungjawab menulis dan/atau menerbitkan "kata-kata fitnah" dalam artikel itu.

Notis tuntutan dihantar 13 Jun

Menurut firma guaman itu, notis tuntutan telah dihantar kepada Lim pada 13 Jun lalu untuk menuntut Lim membuat pembetulan, menarik balik kenyataan, serta memohon maaf secara terbuka di semua media utama untuk tempoh sekurang-kurangnya tiga hari.


Namun sehingga writ saman difail bulan ini, kata firma itu lagi, Lim telah gagal, enggan dan/atau mengabaikan untuk mengambil tindakan untuk memenuhi tuntutan itu.

"Plaintif memplidkan akibat kata-kata fitnah di dalam artikel defendan itu, plaintif telah mengalami penderitaan yang berat, kerosakan nama baik dan berasa amat malu dan segan terhadap ahli keluarga serta kenalan plaintif, warga kerja professional di kalangan ahli jurusan undang-undang serta masyarakat am di Malaysia.

"Plaintif memplidkan lagi bahawa memandangkan defendan telah gagal, ingkar dan/atau mengabaikan semua tuntutan plaintif seperti yang dinyatakan seperti di atas, terdapat risiko defendan akan terus menulis, menerbitkan dan/atau menyiarkan dan/atau menyebabkan kata-kata fitnah terhadap plaintif," katanya lagi.

Selain ganti rugi am sebanyak RM10 juta, Apandi juga menuntut:
  • Ganti rugi teruk
  • Ganti rugi teladan
  • Perintah injunksi untuk menghalang Lim, pekerja, ejen dan/atau mana-mana pihak kepada Lim daripada menerbitkan dan/atau meneruskan penerbitan, membenarkan dan/atau menyebabkan terbitnya dan/atau menyiarkan apa-apa tulisan fitnah yang terkandung di dalam artikel itu dan/atau sebarang perkataan yang terkandung di dalam artikel itu terhadap plaintif yang memberikan kesan buruk terhadap plaintif.
  • Kos
  • Faedah pada tahap lima peratus setahun dari tarikh pemfailan writ saman ke atas jumlah penghakiman sehingga tarikh penyelesaian penuh.
Apa-apa relif lain dan/atau yang lanjut yang difikirkan adil dan/atau wajar dan/atau sesuai oleh mahkamah.


Tiada ulasan: