Sabtu, 20 Julai 2019

‘Bertaubatlah Anwar, Azmin’

Oleh Athirah Huda Zalhe 

 

Ultra kiasu tepuk tangan lihat 2 pemimpin PKR berbalah: Ridhuan Tee


BANGI – Hentikan segera semua sandiwara dan drama menjatuhkan serta memfitnah antara satu sama lain demi memenuhi keghairahan menjadi perdana menteri sehingga sanggup merosakkan imej Islam.

Demikian peringatan pendakwah bebas, Prof Dr Ridhuan Tee Abdullah terhadap ‘pertembungan’ yang berlaku antara Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan timbalannya, Datuk Seri Azmin Ali.

Perbalahan antara kedua-dua pemimpin itu tercetus selepas Anwar baru-baru ini, membuat kenyataan bahawa Mohamed Azmin perlu meletakkan jawatan, sekiranya video seks sejenis yang dikaitkan dengan individu mirip dirinya disahkan benar.

Susulan itu, Mohamed Azmin mengeluarkan kenyataan balas terhadap Anwar dengan memintanya melihat diri di cermin dan bermuhasabah diri.

Ridhuan Tee berkata, sebagai rakyat dan mualaf, beliau sangat malu dengan gelagat dua tokoh politik terbabit – yang kononnya dikatakan bakal perdana menteri – melalui pelakuan serta kenyataan dikeluarkan mereka.

“Apakah mereka tidak terfikir akan implikasi dakwah dan imej Islam dengan perbuatan sedemikian. Dalam Islam, kita diajar apabila ditimpa musibah atau dilanda fitnah, bersabar, kembali kepada Allah. Bangun malam, solat hajat dan bertaubat, bukan babitkan orang lain.

“Ini tidak, masing-masing ada kem, saling hentam-menghentam dan mengatur strategi untuk menjatuhkan sesama saudara. Senjata yang digunakan adalah berkaitan hubungan seks yang amat kotor dan meloyakan,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Ridhuan Tee turut menyelar sikap kedua-dua pemimpin berkenaan yang seolah-olah menggambarkan agama sebagai bahan mainan, selepas masing-masing dikatakan mahu membuat majlis kesyukuran dan majlis zikir selawat ketika berdepan krisis berkenaan.

“Rasa bersalah dan berdosa pergi haji, seolah-olah dengan haji semua akan menjadi putih seperti sedia kala. Jika syarat haji itu syurga, Raja Arab Saudi, Raja Salman antara yang paling awal masuk syurga sebab rumah berdepan kaabah.

“Namun, dengan apa yang dilakukan hari ini, saya tidak fikir syurga berhampiran dengannya. Apa yang perlu ditakutkan jika kita tidak melakukan kesalahan. Berserah kepada Allah,” katanya.

Beliau berkata, sikap Anwar dan Mohamed Azmin itu hanya menjadikan agama Islam sebagai bahan ketawa serta sindiran oleh orang bukan Islam, termasuk musuh Islam.

“Saudara semua mungkin puas hati dengan dapat saling dan memulangkan paku buah keras, tetapi fikirkan kesannya kepada agama Islam dan anak-anak muda yang mulai tertarik dengan isu seks sejenis.

“Musuh-musuh Islam sedang memerhatikan kita dan merancang sesuatu, keadaan kita semakin hari semakin lemah. Tidak mustahil selepas ini mungkin lahir sebuah parti baharu,” katanya.

Tegas beliau, berbaloikah suasana politik seperti itu sedang ultra kiasu terus bertepuk tangan melihat kedua-dua mereka saling berbalah, memfitnah dan menjatuhkan antara satu sama lain.

“Lebih malang lagi, yang tiada kaitan dengan kedua-dua di atas pun saling jatuh-menjatuhkan, fitnah memfitnah. Kita juga terus rugi. Pendek kata, setiap masa kita ditimpa dengan masalah bagi memastikan kita lemah,” katanya.


Tiada ulasan: