Khamis, 11 Julai 2019

Belia menganggur fenomena biasa, kata PM

Perdana menteri Mahathir Mohamad berkata golongan berada 
dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada realiti 
pasaran pekerjaan.
 
KUALA LUMPUR: Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah fenomena biasa yang dihadapi negara membangun dan maju di dunia, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, ia termasuk apa yang dialami Malaysia apabila mencatatkan 10.9% kadar pengangguran pada 2018 melibatkan golongan belia.

“Golongan (belia) ini dikatakan berada dalam proses transisi daripada alam pembelajaran kepada realiti pasaran pekerjaan.

“Berdasarkan kepada Laporan Penyiasatan Tenaga Buruh, Jabatan Perangkaan Malaysia, kadar pengangguran Malaysia pada 2018 mencatatkan kadar 3.3%, manakala, kadar pengangguran belia pada 2018 adalah pada kadar 10.9%.

“Mengikut takrifan Organization for Economic Co- Operation and Development (OECD) 1999, negara yang mencatat kadar pengangguran di bawah 4% dikategorikan sebagai guna tenaga penuh atau ‘full employment’,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Ma’mun Sulaiman (PH-Kalabakan) yang meminta kerajaan menyatakan apakah langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk mengurangkan kadar pengangguran belia dan membantu golongan belia mendapatkan pekerjaan.

Mahathir berkata, antara faktor menyumbang kepada pengangguran belia di Malaysia ialah ketidakcukupan kemahiran atau pendidikan, kekurangan pengalaman bekerja dan ketidakpadanan kemahiran.

“Belia juga dituntut memantapkan jati diri dan sikap agar menepati ciri-ciri pekerja yang dicari oleh majikan iaitu yang komited, rajin, berdaya tahan, kerja berpasukan, berkeinginan untuk belajar, kebolehan bekerja di bawah tekanan dan bersikap proaktif,” katanya.

Beliau berkata, dalam usaha membantu belia mendapatkan pekerjaan, kerajaan melaksanakan usaha termasuk menyediakan portal perkhidmatan pekerjaan JobsMalaysia yang memberi kemudahan kepada pencari kerja untuk mendapatkan kerja.

“Bagi tempoh Januari-Mac 2019, seramai 3,890 orang pencari kerja berjaya mendapat penempatan.
“Selain itu penawaran pekerja berkemahiran dengan sasaran memanfaatkan 4,000 belia lepasan sekolah dan graduan.

“Seramai 76,000 belia di kalangan pelajar universiti dan pelatih TVET menerima manfaat termasuklah meneruskan Program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN),” katanya.

Mahathir berkata, kerajaan dari semasa ke semasa akan menambah baik langkah-langkah sedia ada dan akan mewujudkan lebih banyak program atau mekanisme bagi membantu rakyat mendapatkan pekerjaan dan mengurangkan kadar pengangguran negara.

Tiada ulasan: