Ahad, 28 Julai 2019

Baru Bian sokong Anwar, Azmin sebab takut hilang jawatan, kata pemimpin PKR Sarawak

Pengerusi PKR Sarawak Baru Bian mengeluarkan surat menyokong 
Anwar Ibrahim dan Mohamed Azmin Ali.
 
PETALING JAYA: Seorang pemimpin bahagian PKR Sarawak mendakwa pengerusi negeri parti itu, Baru Bian membuat kenyataan menyokong kedua-dua Presiden PKR Anwar Ibrahim dan timbalannya Mohamed Azmin Ali kerana takut hilang jawatan.

Pemimpin itu yang enggan dikenali berkata, Baru mengubah nadanya selepas pada mulanya berkata beliau “tidak menandatangani apa-apa surat”.

“Baru takut hilang kawalan ke atas jawatan beliau,” kata pemimpin PKR itu. “Ini kerana beliau takut hilang kedudukan dan kuasa dalam majlis pimpinan negeri (MPN) parti.”

Beliau juga mendakwa sebilangan pemimpin PKR Sarawak tidak berpuas hati dengan pendirian asal Baru, yang menyaksikan parti itu berpecah berhubung kontroversi klip video seks sejenis yang melibatkan Azmin.

Beliau berkata, awal minggu ini wujud usaha bagi mendapatkan tanda tangan pemimpin bahagian supaya menyokong Anwar.

Katanya, beliau turut menandatangani surat itu yang tidak menyebut nama Azmin.

Beliau berkata, namanya pada mulanya tidak dimasukkan dalam senarai yang dikeluarkan malam tadi.

“Oleh sebab kenyataan itu telah dibuat, saya tidak nampak kemungkinan mana-mana orang di Sarawak tidak menyuarakan sokongan kepada Anwar” katanya.

FMT sedang berusaha mendapatkan komen Baru.

Tiada ulasan: