Rabu, 17 Julai 2019

Azmin boleh ambil cuti atau teruskan kerja, kata Dr M


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Azmin Ali boleh mengambil cuti atau meneruskan kerjanya, selepas pemimpin PKR menggesa mana-mana pemimpin yang terpalit dengan tuduhan salah laku “bercuti sementara” sehingga siasatan selesai.

Beliau berkata ini kerana Azmin boleh berbuat demikian selagi tidak dibuktikan bersalah.

“Ini semua mengenai satu kospirasi politik, bukan mengenai mendedahkan seseorang melakukan kesalahan.

“Tetapi lebih kepada menghalang kepada seseorang dari berjaya politik,” katanya ketika ditemui di Majlis Beyond Paradigm Summit 2019, hari ini.

Semalam, Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata tindakan bercuti sementara itu penting bagi menunjukkan kepada masyarakat bahawa pemimpin berkenaan tidak cuba berselindung sebalik jawatan tinggi atau kedudukan dalam parti, “apatah lagi di belakang perdana menteri sebagai perisai”.

Perkembangan ini sebulan selepas tersebarnya video seks sejenis yang menyasarkan Azmin dan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Aziz.

Semalam juga, Azmin membidas Shamsul dengan berkata: “Jangan jadi ‘munafik’”.

Mahathir berkata secara keseluruhan, kes video seks sejenis ini disifatkan sebagai satu kospirasi politik.

“Ini bukan mengenai mendedahkan seseorang melakukan kesalahan. Tetapi lebih kepada menghalang kepada seseorang dari berjaya dalam politik,” katanya.

Semalam, polis menahan 3 ahli PKR dalam siasatan ke atas video seks sejenis mirip seorang menteri.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Huzir Mohamed berkata tangkapan dibuat di Pasir Gudang, Johor.

Huzir bagaimanapun enggan mendedahkan identiti mereka, cuma mengatakan 2 orang itu berketurunan Melayu dan seorang berketurunan India.

Tiada ulasan: