Selasa, 25 Jun 2019

Zuraida dinasihat hormati keputusan Biro Politik PKR

Mohd Zaini Samsu Hadi
MGF25062019_PC-TPM-SARA-HIDUP13
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bercakap kepada media selepas sidang media sempena Mesyuarat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya. foto HAZROL ZAINAL
 

PUTRAJAYA – Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin dinasihatkan agar menghormati keputusan yang dibuat oleh biro politik parti berhubung keputusan kolektif yang dicapai terhadap keahlian Ketua Pemuda Santubong, Haziq Abdullah Abdul Aziz yang dikaitkan dengan video intim membabitkan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution berkata, Zuraida harus akur dengan perkara tersebut kerana keputusan itu telah dicapai secara bersama.

Katanya, sekiranya perkara itu berbangkit ia perlu dibincangkan dan beliau tidak wajar membuat kenyataan mengikut keputusan sendiri.

Malah, ketika keputusan tersebut dibuat Zuraida yang juga Ahli Parlimen Ampang hadir pada mesyuarat berkenaan.

“Seperti mana mesyuarat biro politik yang lepas, beliau (Zuraida) ikut hadir dan keputusan lembaga disiplin mengenai empat perkara itu dibincangkan dan beliau ambil bahagian sama sama,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas sidang media Majlis Tindakan Sara Hidup Negara di Bangunan Perdana Putra di sini hari ini.

Saifuddin ditanya wartawan mengenai kenyataan Zuraida semalam, apabila mengatakan beliau akan memecat Haziq susulan pengakuannya mengenai video seks membabitkan Mohamed Azmin yang tular selepas seminggu umat Islam menyambut hari raya Aidilftri.

Mohamed Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak menafikan dakwaan itu dan menyifatkan ia sebagai komplot untuk menjatuhkannya dan mengancam tindakan undang-undang.
Haziq berdepan surat tunjuk sebab dari PKR berhubung perkara tersebut.

Pada 19 Jun lalu, Zuraida mendesak kepimpinan PKR segera memecat Haziq kerana telah memalukan serta mencemar nama baik parti susulan pengakuan terbukanya itu.

Bagaimanapun, Biro Politik PKR yang bermesyuarat pada hari yang sama memutuskan hanya memberikan surat tunjuk sebab kepada Haziq dan diberi masa 14 hari untuk menjawab surat itu.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata, berdasarkan mesyuarat yang dibentangkan banyak perkara dibahas dan terdapat perkara-perkara baik dan buruk namun, akhirnya keputusan itu dipersetuju bersama.

“Adalah lebih baik keputusan itu dihormati sebab kita adalah pihak yang ikut sama membuat keputusan, lain saya tak mahu komen,” ujarnya.

Sementara ketika ditanya mengenai langkah Tun Dr Mahathir Mohamad yang dikatakan berhasrat melepaskan jawatan selepas tiga tahun sebagai Perdana Menteri, beliau berkata, penyerahan jawatan tersebut merupakan satu resolusi yang perlu diterima dan bukan sahaja berdasarkan persetujuan.

Malah, sehingga sekarang perjanjian itu kekal dan tiada perubahan mengenai ketetapan terhadap perkara tersebut. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: