Khamis, 20 Jun 2019

Video lucah: Azmin tak perlu cuti

siti hafidah 

 

Menteri hanya perlu cuti jika siasatan babitkan kes salah laku, jenayah


PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini berkata, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali tidak perlu bercuti sementara siasatan dijalankan berhubung video kontroversi yang dikaitkan dengan Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu.

Beliau berkata, mana-mana menteri hanya perlu bercuti sekiranya siasatan itu mempunyai kaitan dengan salah laku atau jenayah, bagaimanapun kes yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin adalah bermotifkan politik.

“Sebenarnya, ia bertujuan memalukan dan mendesak beliau supaya bercuti. Saya tidak suka maklumat politik ini,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada majlis rumah terbuka Hari Raya Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.

Dr Mahathir berkata, siasatan berkaitan video itu akan diteruskan di mana Mohamed Azmin, yang juga Timbalan Presiden PKR, tidak akan menimbulkan sebarang halangan.
Mohamed Azmin memberi kenyataan beliau kepada polis pada Isnin lepa
s berhubung video yang didakwa dikaitkan dengan dirinya.

Pada Rabu lepas, Mohamed Azmin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan oleh seorang individu yang cuba mengaitkan beliau dengan video seks, dan menyifatkannya sebagai tuduhan jahat dan percubaan untuk memusnahkan reputasi dan keperibadian serta menjatuhkan dan memusnahkan kerjaya politiknya.

Ditanya mengenai gesaan sesetengah pihak supaya Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyerahkan jawatan itu kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Mahathir berkata mereka mempunyai hak untuk mencadangkan.

“Mereka boleh membuat cadangan, sama ada saya terima, itu perkara lain,” katanya.

Bendahari Bersatu Selangor Mohd Shaid Rosli, yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri kawasan Jeram, berkata langkah itu perlu dalam pelan peralihan yang membabitkan penyerahan jawatan perdana menteri daripada Dr Mahathir kepada Anwar.

Mengenai kritikan terhadap beliau berhubung kenyataannya mengenai Yahudi semasa menyampaikan syarahan di United Kingdom baru-baru ini, Dr Mahathir berkata beliau hanya menyuarakan pendapatnya.

“Mereka bercakap mengenai kebebasan bersuara, jika saya tidak boleh menyebut mengenai perkara itu, ia bukanlah kebebasan bersuara.

“Sebab itulah saya menyatakan orang Eropah bersikap dwistandard. Kalau mereka suka, itu adalah kebebasan bersuara, kalau mereka tidak suka, itu adalah salah,” katanya. – Bernama


Tiada ulasan: