Jumaat, 28 Jun 2019

Tommy Thomas, henti campur tangan dan berundurlah!

siti hafidah  

 

Tak sampai setahun pegang jawatan, prestasi Peguam Negara buruk

SEJAK belakangan ini, terlalu banyak isu panas yang berlaku di negara kita setiap hari. Bagaimanapun, isu kematian Adib masih lagi segar dalam ingatan setiap rakyat Malaysia.

Sudah 6 bulan, iaitu setengah tahun Allahyarham meninggalkan kita. Namun, keadilan buat diri dan keluarganya masih lagi tiada. Malah, ada pihak yang berkepentingan cuba campur tangan dalam isu ini sehingga mengelirukan rakyat secara umumnya.

Pada 24 Disember 2018, dilaporkan bahawa pihak polis, melalui kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid, empat orang suspek telah dikenal pasti dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan atas kesalahan membunuh. Namun, semua suspek telah dilepaskan. Siapa dan apa status mereka sekarang, kita pun tidak tahu.

Selepas itu, dibuat pula inkues bagi menyiasat punca kematian sebenar Adib. Saya memang sejak daripada awal lagi menolak agar inkues ini dibuat. Akhirnya, inkues hanya menimbulkan pelbagai kekeliruan sahaja. Malah, sebelum selesainya inkues, Tommy Thomas selaku Peguam Negara sudahpun mengeluarkan afidavit.

Akhirnya naratif baru pula wujud, iaitu Adib tidak mati dibunuh tetapi dilanggar oleh trak bomba. Apa pula terjadi dengan kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara bahawa Adib dibunuh dan suspek telahpun dikenal pasti? Adakah Tommy Thomas mengatakan bahawa pihak polis telah membuat kesilapan?

Terbaru, peguam bagi keluarga Adib, KPKT dan pihak bomba iaitu Puan Syazlin Mansor mengaku bahawa terdapat campur tangan daripada pihak Peguam Negara dalam kes ini. Malah, beliau juga diarahkan oleh Pejabat Peguam Negara agar menarik diri daripada kes ini dengan alasan yang tidak munasabah. Ini salah satu lagi bukti rosaknya integriti Tommy Thomas.

Ini belum pula disentuh mengenai kesungguhan kerajaan yang mahu memansuhkan hukuman mati mandatori termasuk kesalahan membunuh secara tiba-tiba akhir-akhir ini. Apakah ada kaitannya dengan kes kematian Adib ini? Atau hanya satu kebetulan?

Persoalannya di sini, kenapa terlalu banyak tanda tanya timbul dan ia bertambah pada setiap hari?

Apa yang Tommy Thomas cuba sembunyikan?

Baik. Mungkin ada juga yang tidak bersetuju atau agak ‘reserved’ jika kita katakan bahawa Tommy Thomas ada menyembunyikan sesuatu dalam kes ini, tetapi saya yakin kita semua boleh bersetuju bahawa Tommy Thomas perlu berhenti daripada melakukan campur tangan dalam kes ini.

Malah, adil juga untuk kita tuntut agar Tommy Thomas meletakkan jawatannya sebagai Peguam Negara berdasarkan ‘performance’ buruk beliau sepanjang menjawat jawatan ini. Lihat sahaja kontroversi-kontroversi lain yang membabitkan beliau.

Tidak sampai setahun pun, tetapi sangatlah banyak terutamanya isu ICERD, Statut Rom, UEC, kes rasuah banglo Lim Guan Eng dan pelbagai lagi.

Oleh itu, Tommy Thomas perlu berundur segera!

*Aminuddin Yahaya- Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma)

Tiada ulasan: