Rabu, 26 Jun 2019

Tiada maaf bagimu...

Nor Amalina Alias
 
 

“TIADA maaf buat peragut kerana menganiaya orang tua seperti kami, hanya untuk dapatkan duit dengan mudah,” kata suri rumah, Rahimah Mat Hasan, 56, yang cedera bersama suami akibat diragut dalam kejadian di Kampung Keting, Bachok, semalam.

Rahimah berkata, dia dan suami, Alias Awang, 64, menerima lebih 60 jahitan di mulut, lengan, kaki kanan dan kedua-dua belah betis selepas terjatuh dalam parit akibat bergelut dengan dua peragut.

Katanya, dia sendiri menerima 20 jahitan di mulut dan sakit seluruh tubuh, manakala keadaan suami lebih teruk apabila parah terkena tar jalan.

“Keadaan suami sendiri memang sudah tidak sihat memandangkan dia baru menjalani pembedahan membuang usus pada 2016 lalu, dan sekarang pula perlu tanggung sakit akibat peragut menyebabkan kesihatannya bertambah teruk.

“Sebab itu, sukar saya nak maafkan peragut itu, tambahan pula kami berdua pernah kena ragut pada dua tahun lalu di Kubang Kerian. Sekarang saya jadi trauma nak pergi ke mana-mana,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pauh Lima, Kota Bharu, hari ini.


ALIAS (kanan) masih dirawat di wad kecemasan Hospital Raja 
Perempuan Zainab II Kota Bharu, manakala Rahimah pula sudah 
dibenarkan pulang selepas mendapatkan rawatan sebagai pesakit 
luar. FOTO ihsan keluarga mangsa
 
Dalam kejadian 11 pagi semalam, Rahimah dan suami diragut dua lelaki menunggang motosikal selepas pulang mendengar kuliah agama di Pasar Selasa di Kampung Kedai Menanti, Pasir Puteh.

Ketika tiba di kawasan sawah di Kampung Keting, Bachok kira-kira 50 meter dari pasar, motosikal EX5 yang dinaiki dikejar dua peragut sebelum pemboncengnya cuba meragut beg tangan di riba Rahimah.

Rahimah berkata, dia mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Gunung, manakala suami mendapatkan rawatan di Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZII), Kota Bharu dan baru dibenarkan pulang malam tadi.

“Mak cik tak nampak wajah mereka sebab mereka berdua memakai topi keledar yang menutup muka mereka, cuma mak cik ingat pemboncengnya bertubuh kurus,” katanya.

Bagi Alias pula, dia berharap masyarakat mengambil iktibar kejadian menimpanya dan isteri apabila tidak meletakkan beg tangan di tempat terdedah kerana boleh mengundang jenayah.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Deputi Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah berkata, pihaknya sudah menerima laporan berhubung kejadian.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan akibat meragut. Pihak polis sedang berusaha untuk memburu suspek yang terbabit dalam kejadian ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Berita berkaitan
Peragut jahanam...

Tiada ulasan: