Ahad, 30 Jun 2019

Tarik balik kenyataan ‘buta tuli’ terhadap umat Islam Xinjiang

Oleh Athirah Huda Zalhe 

 

Pendirian Mujahid boleh jejas hubungan dengan negara Islam lain: Isma

BANGI– Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mujahid Yusuf Rawa berhubung lawatannya ke Xinjiang, China baru-baru ini, disifatkan sebagai ‘membuta tuli’ dan tidak wajar terhadap apa yang berlaku ke atas umat Islam di wilayah itu.

Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Aminuddin Yahaya berkata, kenyataan yang dibuat menteri agama Malaysia itu tidak langsung mewakili pendirian dan suara hati rakyat Malaysia, khususnya umat Islam di negara ini.

Justeru, beliau mendesak Mujahid untuk menarik balik kenyataan yang dikeluarkan di Facebooknya pada 26 Jun lalu.

“Terdapat pelbagai kajian, pengakuan, pendedahan dan laporan yang telah dibuat oleh pelbagai pihak di seluruh dunia yang menjadi bukti kepada penindasan umat Islam di China. Atas kajian dan bukti apa Mujahid membuat kenyataan dan kesimpulan sebegini?

“Adakah dan apakah Mujahid telah ‘termakan budi’ dengan negara China?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Mujahid di Facebook berhubung lawatannya ke ‘pusat latihan dan vokasional bagi masyarakat Uyghur’ – istilah yang digunakan Beijing bagi menempatkan ribuan orang Islam yang mengkritik dasar China di Xinjiang.

Kenyataan Mujahid yang mengatakan beliau dibawa melawat pusat latihan dan vokasional itu seolah-olah hidup dengan harmoni tanpa ditindas, mencetuskan kritikan pengguna media sosial.

Bahkan, beliau turut teruk dikecam netizen apabila dalam ucapannya menyifatkan laporan mengenai penindasan umat Islam di China sebagai ‘berita palsu’

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, kenyataan ‘liar’ yang dibuat Mujahid itu akan menyebabkan pandangan dunia terhadap Malaysia menjadi buruk.

“Pandangan beliau ini secara tidak langsung akan mencalarkan imej negara serta boleh menjejaskan hubungan dengan negara-negara Islam yang lain, yang sepakat menyatakan berlakunya penindasan di sana umat Islam di sana,” katanya.


Tiada ulasan: