Selasa, 18 Jun 2019

Setiausaha akhbar Zuraida lepas jawatan sebab mahu bebas


   

WAWANCARA | Ahmad Soffian Mohd Sharif yang baru meletakkan jawatannya sebagai setiausaha akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan mendedahkan beliau kini dalam rangka menyiapkan draf "teguran-teguran kepada kerajaan".

Ahmad Soffian yang bekerja dengan Zuraida Kamaruddin selama lebih dua tahun berkata, dia tidak menerima sebarang bayaran daripada mana-mana pihak.

Sebaliknya kata Ahmad Soffian, dia menganggap tugas itu sebagai tanggungjawab peribadi demi kepentingan negara dan rakyat.

“Rezeki saya biar Allah tentukan. Saya rasa peletakan jawatan saya dan apa yang akan saya lakukan selepas ini adalah khidmat kepada negara dan teguran bersifat profesional.

“Terus terang saya cakap, saya sendirian. Tak ada parti politik (di belakang)," katanya.

Pada masa sama Ahmad Soffian berkata dia tidak pasti sejauh mana pendapatnya mengenai kerajaan akan didengari, namun tetap akan mencuba kerana ia dianggap tugasnya berdasarkan pengalaman pernah bekerja dengan kerajaan.

“Apa yang saya nak, teguran itu boleh dimanfaatkan oleh kerajaan dan rakyat," katanya dalam wawancara bersama Malaysiakini semalam.

Sebelum ini Ahmad Soffian mengaku meletakkan jawatannya kerana hilang kepercayaan terhadap pentadbiran PH.

Tidak dipengaruhi mana-mana pihak

Lelaki berusia 33 tahun itu berkata walaupun memandang tinggi kepada Zuraida, namun perkara yang sama tidak boleh dikatakan mengenai kerajaan PH hari ini.

“Masalah dikementerian kami, kami boleh diselesaikan, tapi bila ada orang tanya benda lain, kami tak boleh jawab.

“Jadi saya rasa, lebih baik orang macam saya tak perlu bernaung di bawah kerajaan," katanya.

Ahmad Soffian juga berkata, tegurannya itu nanti tidak boleh dianggap sebagai kritikan yang akan menimbulkan persepsi negatif.

Sebaliknya kata Ahmad Soffian apa yang diutarakan itu bersifat teguran intelektual hasil kajian yang dilakukannya serta pandangan secara bebas dan telus.
Syazlin
Ahmad Soffian berkata keputusan kerajaan untuk menggugurkan isterinya, peguam Syazlin Mansor, dari inkues Muhammad Adib Mohd Kassim juga mempengaruhi keputusannya untuk melepaskan jawatannya.

Isu-isu lain, katanya, ialah kegagalan PH menunaikan janji manifesto, dan kemelut isu pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang berpanjangan.

Graduan undang-undang lepasan UiTM itu turut memberikan markah tiga per 10 kepada pentadbiran PH sekarang kerana melihat kerajaan gagal melaksanakan perkara yang sepatutnya dilakukan mereka dalam tempoh lebih setahun mentadbir negara.

“pada padangan saya yang biasa-biasa ni, tahun pertama PH kena kukuhkan dasar yang bagus untuk kita bawa dalam tempoh tiga hingga empat tahun akan datang.

“Walaupun ada kementerian yang punya dasar tertentu tapi kita tak tahu apa yang dia nak buat tiga, empat tahun akan datang , tapi kebanyakan (kementerian) tak ada.

“Ada juga pelan pembangunan yang baik, tapi tak ada tindakan yang betul dan jenamakan semula dengan letak Harapan dihujungnya,” katanya ketawa.

Menurutnya lagi, ketika berkhidmat dengan KPKT, dia tidak boleh menegur secara terbuka bagi menjaga nama baik kerajaan walaupun menyedari ada sesuatu yang tidak kena.

Katanya ia juga mungkin dianggap sebagai kegagalannya menjalankan taggungjawab.

“Saya ada tanggungjawab untuk pelihara kerajaan, saya kena pastikan kerajaan terjaga.

"Disebabkan itu, saya fikir lebih baik saya mengundur diri dan kemudian cakap apa saya nak sebab dalam keadaan begitu saya tak lagi dipertanggungjawabkan sebagai orang kerajaan," katanya.

Anak kelahiran Johor itu juga berkata, setiap pemimpin harus menerima teguran dengan hati terbuka demi kebaikan bersama.

“Orang kata ketaasuban dalam politik bukan hanya berlaku dalam BN, tapi PH juga, sampai anggap apa yang pemimpin kata itu maksum (tak salah). Itu tak boleh.

“Kita kena ada ruang tegur kepimpinan yang ada, dan pendapat rakyat juga harus didengari,” katanya.


Tiada ulasan: