Rabu, 26 Jun 2019

4 peguam baharu wakili KPKT, JBPM

Sarah Zulkifli

EMPAT peguam baharu daripada Jabatan Peguam Negara (AGC) dilantik mewakili pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dalam inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

Mereka yang mewakili pihak berkepentingan itu membabitkan tiga Peguam Kanan Persekutuan, Suzana Atan, Mazlifah Ayob dan Fadzilatul Isma Ahmad Rafngah serta Peguam Persekutuan, Afiq Zainal Abidin.

Mereka memperkenalkan diri dalam prosiding sebutan semula inkues itu bagi menggantikan peguam Syazlin Mansor yang sebelum ini menarik diri daripada mewakili kedua-dua pihak itu selepas 37 hari prosiding inkues berlangsung di Mahkamah Koroner di Shah Alam.

Peguam Syazlin bagaimanapun kembali semula ke prosiding inkues Muhammad Adib apabila mewakili keluarga anggota bomba itu termasuk mengekalkan barisan peguam terdahulu, Yahaya Othman, Kamaruzaman Wahab dan Ahmad Taufiq Baharum.

Dalam prosiding itu, Koroner Rofiah Mohamad menetapkan tarikh 3, 4 dan 5 Julai ini untuk memanggil saksi pakar, Prof Dr Shahrom Abd Wahid bagi memberikan semula keterangan.

Sebelum ini, saksi ke-29 yang juga bekas Pakar Perunding Kanan Forensik dan Patologi, Hospital Canselor Tuanku Mukhriz, Profesor Dr Shahrom Abd Wahid sepatutnya dipanggil semula keterangan pada 27 Mei lalu terbatal apabila Syazlin menarik diri pada hari berkenaan.

Selain itu, Koroner Rofiah juga menetapkan 16 dan 17 Julai ini sebagai tarikh bagi pakar fizik memberi keterangan.

“Memandangkan kes ini mendapat perhatian umum, saksi perlu hadir memberi keterangan di mahkamah bagi membuat keputusan isu kiraan formula daripada pakar dalam bidang itu,” katanya.

Menurut Koroner Rofiah, senarai nama pakar fizik yang akan dipanggil boleh dikemukakan kesemua pihak berkepentingan pada tarikh 3 hingga 5 Julai itu (Prof Shahrom dipanggil
semula beri keterangan).

“Tarikh itu juga akan menentukan siapa pakar fizik yang akan dipanggil,” katanya.

Terdahulu, Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin memaklumkan mahkamah pihaknya membincangkan tarikh baharu (3, 4 dan 5 Julai) bersama semua pihak berkepentingan.

“Berkenaan dengan senarai pakar fizik, salah satu daripada pihak berkepentingan telah mengemukakan cadangan, namun bagi pihak pegawai pengendali kita masih mencarinya,” katanya.

Muhammad Adib, yang juga anggota van EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember tahun lalu di Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur.



Tiada ulasan: